PELAKSANAAN Program Rumah Kasih Harapan Kak Wan di bawah inisiatif Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak dengan kerjasama Yayasan Gerbang Bandar Tun Razak berjaya mencapai objektif yang ditetapkan.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ia tidak hanya mengubah kehidupan malah turut memberi keselesaan kepada keluarga terpilih untuk memiliki kediaman berwajah baharu.
“Ini adalah salah satu program yang diwujudkan bagi membantu golongan berpendapatan rendah (B40) dan keluarga miskin khususnya di Bandar Tun Razak yang mempunyai rumah sendiri tetapi tidak berupaya untuk memperbaiki agar lebih sempurna dan selesa.
“Alhamdulillah setakat ini kita telah berjaya memberikan keselesaan hidup kepada mereka yang telah lama mendiami rumah sempit dan padat,” ujar beliau.
Dalam masa yang sama, beliau turut mengalu-alukan kerjasama pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu dan menyalurkan dana.
Terdahulu, program Majlis Serahan Kunci Rumah Kasih Harapan Kak Wan siri ketiga menyaksikan seorang peserta, Rosli Hamidon, 67 yang tinggal di Flat Sri Johor terpilih dalam program tersebut dimana kediaman yang didiami tiga dekad lalu mendapat nafas baharu.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin; Ketua UMNO Bandar Tun Razak; Datuk Rizalman Mokhtar dan Ahli Lembaga Penasihat DBKL, Datuk Afdlin Shauki.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa mengucapkan syabas dan tahniah atas komitmen serta usaha yang digerakkan oleh pihak terlibat dalam menjayakan program tersebut.
“Ini menunjukkan bahawa pihak kerajaan komited untuk meningkatkan taraf hidup rakyat khususnya warga Bandar Tun Razak yang kurang berkemampuan atau miskin bandar bagi mendapatkan rumah yang berwajah baharu.
“Fokus utama kerajaan adalah untuk mensasarkan mana-mana individu atau keluarga yang memerlukan bantuan. Saya yakin program seperti ini akan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat menerusi perkongsian perkhidmatan, maklumat dan kepakaran daripada semua pihak yang memerlukan,” jelas beliau.
Terdahulu, Program Rumah Kasih Harapan Kak Wan merupakan inisiatif yang diperkenalkan sejak Mac 2023 yang melibatkan kos sebanyak RM30,000.
Ia juga merupakan kesinambungan daripada siri pertama yang dilaksanakan di sebuah kediaman di Apartmen Seri Penara, Bandar Sri Permaisuri pada Mei lepas dan siri kedua di Lorong Mewah 7, Bandar Tun Razak pada Oktober lepas. – WILAYAHKU