KERAJAAN telah melancarkan program rehabilitasi selama 90 hari secara sukarela kepada seluruh ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) bagi memulihkan akidah yang terpesong dari ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata Majlis Keselamatan Negera (MKN) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) JAIN dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri telah memulakan projek rintis pada 7 November 2024 di rumah pemulihan MAIS dengan mengguna pakai modul Istitabah MAIS.
“Penilaian akan dilaksanakan pada setiap 30 hari selepas sesi pemulihan dilaksanakan. JAKIM dengan kerjasama MKN dan pelbagai agensi akan menjalankan program pemulihan dengan modul yang komprehensif.
“Modul tersebut meliputi aspek pemulihan akidah dan syariah, pendidikan, kaunseling, kesihatan, kenegaraan dan juga latihan kemahiran untuk persediaan kelangsungan hidup selepas kembali ke pangkuan masyarakat,” ujarnya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) berhubung usaha memulihkan akidah pemimpin dan pengikut GISBH yang terpesong.
Ujar beliau dalam masa yang sama, sebahagian Majlis Agama Islam Negeri dan JAIN telah membentuk pasukan petugas khas bagi mengatur program pemulihan di peringkat negeri masing-masing dengan penyelarasan daripada JAKIM.
“Bagi membela kebajikan keluarga dan memastikan kelangsungan pendidikan anak-anak yang ditinggalkan oleh GISBH, JAKIM dengan kerjasama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) telah menyelaras dengan MAIN dan Agensi Mengurus Zakat (AMZ) bagi memberikan bantuan kewangan kepada mereka.
“MAIN/AMZ boleh mempertimbangkan bentuk-bentuk bantuan kepada ahli GISBH yang memenuhi syarat pemberian bantuan iaitu tergolong dalam asnaf al-Riqab, fakir, miskin, alGharimin dan fisabilillah,” ujar beliau.
Tambah beliau dari sudut pendidikan, anak-anak yang berada di rumah perlindungan sudahpun menjalani persekolahan secara formal. – WILAYAHKU