Berita

Program Rakan Kolaborasi erat hubungan polis, masyarakat

- Diterbit 18 Ogos 2024 11:47 AM MYT

PROGRAM Rakan Kolaborasi Taman Angkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras dan Balai-Balai di Dewan IPD Cheras Kuala Lumpur mengeratkan lagi hubungan polis dengan masyarakat, kata Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.

“Pelaksanaan program seumpama ini akan menghilangkan rasa takut masyarakat kepada polis dan menjalinkan kerjasama rapat dengan pihak berkuasa.

“Ini membantu mereka menyalurkan maklumat jenayah yang berlaku di perumahan mereka,” katanya di Facebooknya.

Beliau turut berharap keberkesanan program di daerah Cheras itu mampu membina jambatan kerjasama jitu antara polis dan masyarakat.

Katanya, ia selari dengan tema Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada dalam mencegah jenayah secara bersama.

Sementara itu, Azman berkata beliau semalam turut merasmikan Program Konvoi Anak Muda Merdeka Bandar Tun Razak di Laman Tun Razak, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur sempena Bulan Kemerdekaan.

Menurutnya, konvoi itu bertujuan bagi menghidupkan dan menyemarakkan Bulan Kemerdekaan sekali gus mampu memupuk semangat patriotisme dalam jiwa anak muda.

“Malahan program ini juga memupuk nilai kebersamaan antara kita. Nilai keamanan dan kemakmuran negara yang kita kecapi selama ini haruslah dijaga oleh setiap lapisan masyarakat dengan menjaga sensitiviti antara rakyat Malaysia,” katanya.

Azman berharap setiap rakyat haruslah menyemat nilai cinta dan kasih kepada negara tercinta dengan mengibarkan Jalur Gemilang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas