Berita

Program perumahan mampu milik: Belia tanpa bebanan hutang

TAPAK projek pembangunan Residensi MADANI di Putrajaya yang dirasmikan Anwar baru-baru ini
- Diterbit 11 November 2024 5:14 PM MYT

USAHA kerajaan memperkenal program Perumahan Mampu Milik baharu Residensi MADANI, nyata menyokong generasi akan datang dalam membina kestabilan kewangan melalui pemilikan hartanah.

Ketua Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Nor Wahiza Abdul Wahat berkata hal demikian kerana pemilikan rumah boleh menjadi pemacu yang kuat untuk kestabilan kewangan selain membantu belia membina ekuiti dan mendapatkan kedudukan ekonomi yang lebih kukuh dari semasa ke semasa.

Beliau menegaskan, fokus kerajaan mewujudkan pilihan perumahan yang mampu milik dan lestari itu adalah sebahagian daripada visi jangka panjang untuk Malaysia yang inklusif dan saksama.

“Ini menunjukkan usaha kerajaan untuk memastikan semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang ekonomi mempunyai peluang yang sama memiliki rumah yang selesa dan selamat.

“Inisiatif ini menyediakan peluang unik kepada golongan belia yang berhasrat untuk memiliki rumah sendiri khususnya di ibu negara,” katanya kepada Wilayahku.

Menurut beliau, perumahan yang mampu milik bukan sahaja penting untuk menyediakan tempat tinggal yang asas tetapi ia juga merupakan elemen penting dalam memperkukuh kestabilan ekonomi, emosi dan sosial masyarakat.

Katanya, ia selari dengan komitmen untuk menutup jurang antara golongan kaya dan miskin yang selama ini menjadi cabaran utama dalam mencapai kesaksamaan sosial di negara ini.

Nor Wahiza berkata dari sudut kelestarian, kerajaan mengambil pendekatan untuk membangunkan perumahan yang mesra alam dan jimat tenaga.

Hal ini katanya penting dalam konteks perubahan iklim dan keperluan untuk mengurangkan kesan karbon.

“Dengan menggalakkan pembangunan perumahan yang lestari, kerajaan menunjukkan komitmen terhadap penjagaan alam sekitar dan kesejahteraan generasi akan datang.

“Dalam jangka panjang, perumahan yang lestari akan mengurangkan kos tenaga dan pemeliharaan yang seterusnya akan memberi manfaat kepada penduduk dalam aspek kos sara hidup yang lebih rendah.

“Inisiatif seperti Kejiranan MADANI juga berperanan dalam membentuk komuniti yang inklusif. Dengan memasukkan kemudahan seperti ruang hijau, taman dan kawasan rekreasi, kerajaan bukan sahaja membina rumah tetapi juga membina masyarakat yang berinteraksi secara positif dan harmoni,” katanya.

Beliau menambah, ia adalah sebahagian daripada matlamat untuk mewujudkan Malaysia yang lebih aman dan stabil di mana rakyat dari pelbagai latar belakang dapat hidup bersama dalam suasana saling menghormati dan bekerjasama.

Jelasnya, aspek kesejahteraan emosi sering kali terlepas pandang dalam pembangunan perumahan tetapi ia adalah faktor utama yang mempengaruhi kualiti hidup dan keseimbangan hidup seseorang.

“Melalui perancangan perumahan yang teratur dan kondusif, inisiatif Kejiranan MADANI bertujuan untuk mencipta suasana yang menyokong kesejahteraan emosi penduduk.

“Kawasan perumahan yang dilengkapi dengan ruang hijau, taman dan kemudahan rekreasi memberi peluang kepada penduduk untuk beriadah dan menikmati keindahan alam sekitar.

“Ruang-ruang ini tidak hanya berfungsi sebagai tempat untuk bersenam dan berekreasi tetapi juga menjadi tempat bagi penduduk untuk berehat dan melepaskan tekanan kehidupan seharian,” katanya.

Selain itu katanya, pembangunan komuniti yang inklusif di bawah inisiatif ini menggalakkan interaksi sosial yang positif antara penduduk.

Dalam perkembangan sama, katanya, dengan menyediakan perumahan yang mampu milik, inisiatif ini membantu golongan muda untuk memiliki rumah sendiri tanpa dibebani hutang yang tinggi yang merupakan satu faktor utama dalam tekanan kewangan.

“Perasaan selamat dan stabil yang datang daripada memiliki rumah sendiri dapat memberi kesan positif kepada emosi seseorang, meningkatkan keyakinan diri dan memberi mereka rasa kepastian untuk merancang masa depan dengan lebih tenang.

“Kerajaan juga menekankan pentingnya keselamatan dalam komuniti ini. Dengan mengutamakan aspek keselamatan dan kebersamaan dalam setiap projek perumahan, kerajaan berharap penduduk dapat hidup dengan perasaan selamat dan tenteram,” katanya.

Secara keseluruhannya jelas beliau visi jangka panjang ini bukan sahaja tentang menyediakan tempat tinggal tetapi juga membina asas bagi sebuah negara yang makmur, harmoni dan berdaya tahan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas