KERAJAAN masih mengekalkan Program Penempatan Sementara Migran Syria (PPSMS) sehingga waktu yang bersesuaian bagi memastikan keadaan di negara tersebut adalah benar-benar stabil.
Menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN), ia bukan sahaja untuk nyawa tetapi perlu juga mengambil kira soal keselamatan harta benda.
“Program Penempatan Sementara Migran Syria (PPSMS) merupakan komitmen kerajaan yang telah dibuat pada Sesi Ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York, Amerika Syarikat bagi membantu meringankan krisis di Syria dengan menerima kemasukan migran Syria ke Malaysia atas dasar kemanusiaan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.
KDN menjawab soalan Senator Datuk Salehuddin Saidin mengenai status kedudukan warga Syria yang dibawa ke negara ini atas dasar perlindungan.
Jelas KDN, bagi program PPSMS, kerajaan telah mengeluarkan Pas Lawatan (Sosial) IMM13 kepada 2,332 orang migran Syria yang meliputi 1,506 orang peserta lelaki dan 826 orang peserta wanita.
Sehingga 31 Januari lalu katanya, hanya 1,295 orang peserta sahaja yang masih berada di dalam program itu dan memegang Pas Lawatan (Sosial) IMM13.
“Seramai 1,037 orang peserta telah keluar daripada PPSMS atas pelbagai faktor antaranya seperti pulang ke negara asal, bertukar ke lain-lain pas dan penyatuan keluarga di negara ketiga,” katanya. – WILAYAHKU