SELAIN mengajar untuk memasak muruku, program Murukku Madani mengeratkan silaturahim masyarakat berbilang bangsa di Bandar Tun Razak.
Naib Ketua Cabang Keadilan Bandar Tun Razak, Jonathan Vela berkata program hari ini dianjurkan sempena ambang sambutan Hari Deepavali.
“Masa ini bukan semua pandai memasak. Kebanyakkannya mereka beli di kedai.
“Apa kita buat untuk mengajar membuat dan memasak muruku. Ini mengeratkan silaturahim sesama semua pihak,” katanya pada sidang medianya di program Muruku Madani Bandar Tun Razak di Laman Tun Razak.
Jonathan yang juga Timbalan Pengerusi Sub Zon 1 Bandar Tun Razak berkata program Murukku Madani ini pertama kali dianjurkan.
Beliau berkata lebih 100 peserta yang hadir dalam program ini terdiri daripada pelbagai bangsa.
“Yang datang hari ini bukan sahaja masyarakat India tetapi Melayu dan Cina.
“Kita buat program untuk masyarakat sekitar. Program ini juga meringankan beban mereka untuk membeli bahan-bahan membuat muruku selain tidak perlu membeli gas, minyak dan tepung,” katanya.
Menurut Jonathan yang juga Pengerusi Biro Masyarakat India Badar Tun Razak berkata seramai tiga tenaga pengajar profesional mengajar memasak muruku dalam program hari ini.
Beliau berkata muruku ini juga akan diagihkan kepada enam zon di Bandar Tun Razak selain peserta turut akan membawa balik muruku yang dimasak.
“Kita harap program ini akan diteruskan pada setiap tahun berikutan sambutan yang meriah daripada penduduk.
“Kita akan agihkan 150 bekas untuk setiap zon di Bandar Tun Razak,” katanya. – WILAYAHKU