Utama

Program Minggu Infaq PPj bantu asnaf sambut raya

KAUNTER serahan barang dan tabung infak telah dibuka pada 9 sehingga 24 April bertempat di Padang Kompleks Perbadanan Putrajaya.
- Diterbit 14 April 2022 8:30 AM MYT

RAMADAN membuka ruang kepada setiap umat Islam untuk melakukan amal kebajikan untuk mendapatkan ganjaran istimewa melebihi bulan lain dan antara amalan yang digalakkan adalah bersedekah.

Justeru itu, pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) mengambil inisiatif membantu golongan memerlukan dengan menghulurkan bantuan barangan keperluan harian dan baucar Hari Raya menerusi Program Minggu Infaq 2022.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komuniti dan Sukan PPj, Siti Fadilah Ramli, sumbangan tersebut akan disalurkan ke surau-surau di sekitar Putrajaya dan golongan asnaf untuk mereka membeli persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Program yang berlangsung pada 9 April sehingga 24 April ini adalah untuk mengurangkan beban tanggungan keluarga seterusnya mensejahterakan kehidupan warga Putrajaya,” katanya kepada Wilayahku.

“Saya ingin menyeru lebih ramai pihak untuk tampil menghulurkan sumbangan bagi membantu golongan asnaf yang serba kekurangan.

“Kami amat memerlukan sumbangan dan sokongan daripada orang ramai. Diharapkan inisiatif ini dapat mengurangkan beban mereka pada bulan Ramadan dan sedikit sebanyak membantu mereka mengharungi kehidupan seharian,” ujarnya yang berharap usaha menghulurkan sumbangan tidak berakhir begitu sahaja.

Tambah beliau, penyumbang utama dalam program ini terdiri daripada Putrajaya Holdings, Subaru, KK Mart, 99 Speedmart, Kumpulan JL99 dan Tenaga Nasional Berhad.

Program Minggu Infaq 2022 yang berlangsung pada setiap hujung minggu turut diserikan dengan pelbagai program menarik antaranya bacaan Al-Quran oleh pelajar tahfiz, tazkirah muzikal daripada penceramah terkemuka serta Persembahan Qasidah Berzaman khas untuk mereka yang berbuka puasa di padang Perbadanan Putrajaya.

“Pelbagai pengisian telah disusun bagi meraikan pengunjung yang berkunjung ke Ihya’ Ramadan dan Laman Iftar Putrajaya.

“Kaunter serahan barang dan tabung infak akan dibuka sepanjang 15 hari penganjuran bagi memberikan peluang kepada pengunjung mengejar ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah SWT di bulan yang mulia ini,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas