SERAMAI 160 peserta menyertai Program Mentor Mentee Premis Makanan Perbadanan Putrajaya bagi tahun 2024 untuk meningkatkan pengetahuan terhadap aspek kebersihan premis di kawasan pusat pentadbiran negara.
Menurut Pengarah Bahagian Kesihatan Persekitaran, Jabatan Perkhidmatan Bandar Perbadanan Putrajaya (PPj), Dr Mohd Helmi Abdul Hamid, antara agensi terlibat adalah Pejabat Kesihatan Putrajaya, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya dan turut disokong oleh Pertubuhan Rakyat Sihat Malaysia (Sihat Malaysia).
“Penganjuran program edisi ketiga oleh PPj selepas penganjuran pada tahun 2022 dan 2023 ini diharapkan dapat mempertingkatkan lagi tahap kebersihan semua kantin sekolah di Putrajaya dan sekali gus dapat menjadi pemangkin dalam mewujudkan premis kantin sekolah bergred A sepenuhnya di Putrajaya.
“Ia seterusnya mampu menjadi contoh dan teladan yang baik kepada lain-lain pengusaha premis makanan di Putrajaya agar terus meningkatkan tahap kebersihan di premis makanan masing-masing.
“Program ini memberi penekanan dan bimbingan profesional kepada semua peserta terlibat berkenaan aspek keselamatan dan kualiti makanan, amalan pengendali makanan yang baik, amalan penyediaan makanan sihat dan penguatkuasaan keselamatan makanan,” ujarnya.
Beliau berkata objektif utama program ini adalah untuk mempertingkatkan kefahaman dan kemahiran pengusaha premis makanan berkaitan aspek keselamatan dan kualiti makanan yang terbaik.
“Fokus pelaksanaan program pada kali ini adalah kepada semua pengusaha-pengusaha premis kantin sekolah di Putrajaya termasuk sekolah-sekolah yang berada di bawah seliaan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan lain-lain institusi pendidikan swasta di Putrajaya,” ujarnya.
Bagi meneruskan komitmen Perbadanan Putrajaya dalam aktiviti keselamatan makanan, Helmi berkata PPj turut menganjurkan Program Suntikan Typhoid PPj secara berterusan kepada semua pengendali makanan di Putrajaya dan kawasan sekitar.
“Setiap peserta yang terlibat akan menerima pakej suntikan typhoid dengan kadar yang istimewa berserta Kad Pintar Suntikan Typhoid PPj.
“Program ini akan diadakan secara berterusan pada setiap tahun dan hebahan program akan disiarkan dari semasa ke semasa di semua medium sosial rasmi PPj.
“Kami berharap dengan program dan inisiatif diadakan ini dapat memberi kesedaran kepada pemilik premis makanan serta orang awam tentang kepentingan penjagaan kebersihan premis makanan yang seterusnya akan menjadikan Wilayah Persekutuan ini kawasan yang bersih dan indah di samping mewujudkan kesihatan persekitaran yang sihat dan terbaik kepada masyarakat khususnya penduduk Putrajaya,” ujarnya. – WILAYAHKU