SELARAS dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mempergiatkan aktiviti-aktiviti ekonomi yang mampan dan inklusif khususnya di ibu negara, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah dipertanggungjawabkan melakukan kerja-kerja penambahbaikan di pusat penjaja dan gerai milik pihak berkuasa tempatan (PBT) menerusi Program Lestari Niaga@Kuala Lumpur.
Antara lokasi yang ditambah baik melibatkan enam pusat penjaja dan gerai milik DBKL di kawasan Brickfields iaitu Kompleks Tun Sambanthan, Medan Selera Tempat Letak Kereta Brickfields, Kedai Bunga Little India, Kedai Burung Little India, Little India Seri Kota dan kedai bunga di Jalan Scott.
Rata-rata peniaga dan pengunjung menyambut baik inisiatif tersebut dan berpuas hati apabila enam pusat penjaja dan gerai tersebut ditambah baik menjadi lebih selesa, indah serta bersih.
Berkongsi pandangan, peniaga Kedai Bunga Little India, Rajeswary Subramaniam, 48, berkata usaha DBKL itu dilihat tidak hanya menambahkan seri kepada kawasan tersebut malah memberi keselesaan kepada pengunjung sekali gus membantu meningkatkan pendapatan para peniaga.
“Kalau sebelum ini keadaan di sini agak suram dan selepas DBKL melakukan penambahbaikan dengan lukisan mural di dinding-dinding sekitar Little India ia menambah ‘seri’.
“Pada tahun ini ramai yang datang ke gerai kami untuk membeli persiapan Deepavali secara tidak langsung memberi sokongan kepada penjaja kecil,” katanya kepada Wilayahku.
Turut menyambut baik program tersebut, Puvaan Raj, 21, berkata selain kaum India, kawasan di sekitar Little India itu juga sentiasa menjadi lokasi tumpuan pelancong tempatan termasuk luar negara terutama ketika musim perayaan Deepavali.
“penambahbaikan yang dilakukan ini sedikit sebanyak memberi imej baharu terhadap Little India namun selain PBT, peniaga juga perlu memainkan peranan dalam menjaga kebersihan di kawasan perniagaan,” ujarnya yang berharap semua pihak memainkan peranan dan tidak menunggu pihak DBKL untuk melakukan rondaan dalam memastikan sesebuah premis itu bersih.
Bagi Shurenraj Sockalingam, 29, dia gemar berkunjung ke Little India kerana banyak pilihan kedai dan barangan yang boleh didapati dengan harga mampu milik.
“Persekitaran di sini juga saya lihat lebih baik berbanding tahun lalu di mana dinding-dinding dihiasi dengan lukisan mural dan telah dicat semula. Ia seolah memberi nafas baharu kepada kawasan ini,” jelasnya yang datang dari Ipoh.
Terdahulu, Program Lestari Niaga@Kuala Lumpur merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Madani dengan kerjasama DBKL untuk menaik taraf fasiliti gerai-gerai peniaga kecil dan penjaja sedia ada kepada fasiliti yang lebih kondusif dan selesa di sekitar Kuala Lumpur.
Kerja-kerja pengindahan yang dilaksanakan oleh DBKL termasuk pengindahan fasad, penambahbaikan bumbung, kerja–kerja mengecat semula bangunan dan mengecat mural, penggantian kipas dan lampu yang baru, penggantian paip-paip air dan pemasangan papan tanda. – WILAYAHKU