KAMPUNG Orang Asli (KOA) Hulu Kemensah merupakan lokasi pertama di Negeri Selangor dan lokasi kedua di Malaysia yang dipilih untuk menerima perkhidmatan Internet satelit Starlink yang dipasang di kawasan balai raya KOA pada 11 Ogos lalu.
Dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, pemilihan lokasi ini merupakan salah satu langkah penyelesaian sementara bagi menangani masalah liputan di kawasan tersebut di mana seramai 135 orang penduduk yang terdiri daripada 35 buah keluarga mendapat manfaat daripada perkhidmatan tersebut.
Namun, dalam masa yang sama, pihak kerajaan juga sedang berusaha untuk melaksanakan solusi jangka panjang melalui pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang sedang dilaksanakan secara berperingkat mengikut fasa.

Kini penduduk KOA Hulu Kemensah dapat menikmati kelajuan data Internet sehingga 200 Megabit/per saat (Mbps) dengan kuota sehingga 1 Terabit sebulan.
Justeru itu, satu Program Klik Dengan Bijak (KDB) MCMC Bersama Masyarakat Orang Asli diadakan bertempat di kampung tersebut bagi memberi maklumat mengenai tanggungjawab penggunaan Internet dalam kalangan kanak-kanak dan ibu bapa.
Menurut Pengarah (Kawal Selia), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Negeri Selangor, Ts Mohamad Syukri Jamaluddin Muhammad, objektif Program KDB adalah untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran penduduk terutamanya kanak-kanak tentang keselamatan dan perlindungan di Internet seperti ancaman daripada penipuan, berita palsu dan sebagainya.
“Internet menawarkan pelbagai sumber maklumat, tetapi jika digunakan tanpa pengetahuan dan perlindungan yang betul, ia boleh mengancam keselamatan kita. Jadi sepanjang taklimat, saya lihat masyarakat di sini memahami tentang perkara tersebut dan teruja untuk mengetahui lebih terperinci.
“Rata-ratanya memberi maklum balas positif kerana dapat menikmati pelayaran Internet yang lebih laju dan lancar. Selain itu, perkhidmatan Internet melalui teknologi satelit Starlink ini juga bertujuan untuk merapatkan jurang digital kepada penduduk di KOA Hulu Kemensah,” ujar beliau kepada Wilayahku.

Tambah beliau lagi, ia juga memberikan peluang kepada penduduk di sini untuk berhubung dan berkomunikasi di Internet dalam pembelajaran di mana para pelajar di kawasan tersebut boleh mengikuti kelas secara dalam talian selain mencari informasi tambahan tentang pelajaran di Internet.
“Bagi penduduk dewasa pula Internet juga membolehkan mereka untuk meningkatkan sosioekonomi keluarga dengan terlibat dalam perniagaan seperti memasarkan
produk jualan di Internet.
“Diharapkan perkhidmatan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan kepada penduduk di kawasan ini dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya sekali gus meningkatkan pendidikan serta taraf ekonomi penduduk KOA Hulu Kemensah,” ujar beliau.
Terdahulu, lebih 30 orang kanak kanak dan ibu bapa mengikuti Program Klik Dengan Bijak MCMC Bersama Masyarakat Orang Asli yang diadakan di KOA Hulu
Kemensah pada 24 Ogos lalu.
TAK PERLU ULANG-ALIK CARI INTERNET
PENDUDUK KOA Hulu Kemensah berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana memilih kampung mereka untuk menerima perkhidmatan Internet satelit Starlink sekali gus memastikan mereka tidak ketinggalan dengan dunia luar.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) KOA Hulu Kemensah, Jamil Atong, mereka telah lama menunggu saat
tersebut dan kini sangat teruja memandangkan ia memberi pelbagai kemudahan.
“Kalau dahulu, penduduk terpaksa berulang-alik sejauh dua kilometer untuk mendapatkan Internet tidak kira malam atau siang tapi sekarang hanya perlu turun ke balai raya sahaja untuk mendapatkan akses. Masa pun dapat dijimatkan.

“Dari segi pelajaran pula, anak-anak boleh mencari info tambahan untuk pembelajaran mereka dan sekurang-kurangnya tidak ketinggalan dalam arus perkembangan semasa.
“Sementara itu, bagi golongan dewasa, ia memudahkan kami untuk menjalankan perniagaan contohnya jualan buluh, durian dan sebagainya di mana ia boleh dilakukan secara lebih meluas melalui dalam talian. Dalam masa yang sama, banyak hasil jualan yang boleh kami pasarkan di luar,” ujarnya.
Katanya lagi, golongan muda yang ingin mencari kerja juga lebih mudah memohon secara dalam talian memandangkan zaman kini semuanya berada di hujung jari.
“Platform pekerjaan untuk masyarakat di sini lebih meluas jika dapat diakses melalui Internet berbanding dahulu mereka terpaksa keluar mencari dan sudah semestinya peluang agak terhad,” katanya lagi. – WILAYAHKU