Berita

Program Kem Pembinaan Karakter Generasi MADANI manfaat kemahiran hidup

AKTIVITI kapal terbang terhempas mengajar peserta untuk memberi rawatan kecemasan sekiranya berlaku sebarang insiden di kawasan perumahan mereka.
- Diterbit 7 Januari 2025 12:10 PM MYT

PROGRAM Kem Pembinaan Karakter Generasi MADANI anjuran Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) yang diadakan baru-baru ini, dilihat mempunyai signifikan tersendiri.

Ia tidak hanya membantu membentuk karakter positif dalam diri pelajar malah mereka turut diajar dengan pelbagai kemahiran hidup yang boleh dimanfaatkan pada masa akan datang.

Menurut salah seorang peserta, Arie Haqimi Muhd Iman Tonin, 17, kem tersebut amat berbaloi untuk disertai kerana pelbagai pengajaran dan pembelajaran yang diperoleh sepanjang tiga hari dua malam.

“Pada mulanya kami didedahkan dengan pelbagai jenis ikatan di mana ia boleh digunakan dalam beberapa situasi kecemasan.

“Seterusnya para peserta didedahkan dengan cara untuk terus hidup ketika berada di dalam hutan, sebagai contoh kami diajar untuk mengenali pokok-pokok herba yang boleh dimakan atau tidak, menghidupkan api tanpa menggunakan barang elektronik tetapi dengan hanya menggunakan kayu atau ranting yang terdapat di sekeliling kita dan banyak lagi perkara yang dikongsikan.

“Saya percaya ilmu-ilmu yang diterima ini akan berguna sampai saya tua nanti, tambahan pula saya memang minat dengan aktiviti outdoor seperti hiking dan camping di mana saya boleh praktikkan semula setiap apa yang diajar,” ujar pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tasik Selatan itu.

Dinobatkan sebagai peserta lelaki terbaik, Arie Haqimi berkata, dia tidak menyangka akan menerima anugerah tersebut kerana semua peserta menunjukkan semangat yang luar biasa.

“Mungkin saya lebih menyerlah kerana saya juga merupakan penghulu sepanjang kem motivasi dan saya gembira serta bersyukur dengan pengiktirafan ini, mungkin bagi sesetengah orang ia sekadar menang tetapi memberi makna yang besar buat diri saya.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada YWP di atas penganjuran kem motivasi ini kerana ia sangat berbaloi buat generasi muda khususnya dan sekiranya ia diadakan lagi, pastinya saya akan mengambil bahagian,” ujarnya.

Sementara itu, Siti Nur Amalina Nadihah Md Hafizi, 16, berkata, kem ini mengajar dirinya untuk lebih berdikari tambahan pula dia tidak mempunyai pengalaman tinggal di sekolah berasrama, jadi pengalaman yang ditimba di sini sangat berharga.

“Sepanjang tiga hari di sini, saya belajar untuk bekerjasama dengan rakan-rakan lain dalam apa pun keadaan kerana bersatu teguh, bercerai roboh.

“Selain itu, di sini juga kesemua peserta perlu berdikari kerana tiada siapa yang akan bantu untuk kejutkan kita daripada tidur, basuhkan pinggan dan sebagainya. Ia juga membantu membentuk karakter yang lebih positif dalam diri setiap pelajar lain,” katanya.

Siti Nur Amalina berkata, program ini membantunya dari sudut kepimpinan apabila dia dilantik sebagai penghuluwati bagi peserta wanita.

“Di sekolah saya seorang pengawas dan kem motivasi sebelum ini juga saya pernah dilantik menjadi ketua, jadi dengan semua pengalaman itu saya gunakan untuk jadi penghuluwati yang bagus pada program kali ini sekali gus menjadikan saya sebagai pemimpin yang lebih baik untuk masa akan datang. Segala pengalaman yang dirasai di sini amat bermakna.

“Terima kasih kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan YWP di atas penganjuran program ini dan diharapkan ia dapat diteruskan supaya lebih ramai pelajar dapat merasai pengalaman ini,” ujarnya.

Terdahulu, seramai 80 pelajar tingkatan empat dari sembilan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) menghadiri Program Kem Pembinaan Karakter Generasi MADANI yang diadakan di Photon Valley Eco Resort, Hulu Langat, Selangor. – WILAYAHKU

[Iklan]

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas