LEBIH 2,000 pengunjung sekitar kawasan Parlimen Bandar Tun Razak memeriahkan Program Jualan Termurah di Perkarangan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, hari ini.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata program tersebut merupakan usaha kerajaan dalam membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat terutama dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40) dan miskin bandar di sekitar kawasan Bandar Tun Razak.
“Kita cuba untuk mengurangkan harga kos barang keperluan seharian melalui pelaksanaan program seperti ini.
“Saya cuba memperluaskan. Saya tengok macam mana kaedah yang boleh dilakukan untuk membantu agar lebih ramai masyarakat dapat memanfaatkan inisiatif seperti ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Program Jualan Termurah di perkarangan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, hari ini.
Difahamkan, sebanyak 13 tan barangan basah dan kering dibawa kepada penduduk setempat untuk dibeli pada harga yang berpatutan antaranya ayam, ikan, daging, buah-buahan dan beras seawal pukul 8 pagi hingga 12 tengahari.
Sementara itu, pengunjung, Rusmawati Abdul Malek, 58, berkata dia dan suami sudah berada dari awal pagi dan berasa teruja untuk mendapatkan barangan.
“Program seperti ini sangat bagus dianjurkan dan diperluaskan kerana ia bukan sahaja membantu mengurangkan kos perbelanjaan harian malah orang ramai juga tidak perlu bergerak jauh untuk mendapatkan barangan yang sama seperti di pasaran,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Ismail Abd Rahman, 64, berkata banyak manfaat yang diterima masyarakat khususnya di Bandar Tun Razak dengan penganjurannya. – WILAYAHKU