PROGRAM jerayawara pendidikan tinggi negara iaitu Jom Masuk U 2025 (JMU 2025) bakal memulakan siri jelajah ke 10 zon di seluruh negara bermula pada 22 Februari hingga 18 Mei depan.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan JMU 2025 adalah inisiatif kementerian bagi memberi pendedahan kepada pelajar berkenaan maklumat kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) selain menggalakkan pelajar untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
“Penganjuran JMU 2025 bertujuan untuk mempromosi maklumat mengenai program pendidikan yang ditawarkan IPT di bawah kementerian merangkumi Universiti Awam (UA), Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik, Kolej Komuniti (KK) serta penglibatan MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT).
“JMU 2025 menyasarkan kumpulan pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Matrikulasi, Asasi, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan diploma atau setarafnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam masa sama, KPT memaklumkan calon-calon lepasan SPM, STPM dan setaraf boleh membuat permohonan UPUOnline® Fasa Pertama yang akan dibuka bermula 10 Februari hingga 14 Mac depan pada pukul 5 petang.
“Permohonan fasa kedua bakal bermula pada 14 April hingga 18 Mei depan.
“Pelbagai aktiviti menarik turut ditawarkan sepanjang JMU 2025 berlangsung antaranya pameran, sesi konsultasi UPUOnline®, konsultasi penajaan, biasiswa, pinjaman dan bantuan kewangan pendidikan tinggi,” katanya.
KPT menjemput semua pihak khususnya pelajar, ibu bapa, penjaga, guru, kaunselor dan orang awam untuk turut serta dalam JMU 2025. – WILAYAHKU