SEMPENA Sambutan Hari Malaysia yang ke-61, Majlis Perwakilan Penduduk Sub Zon 3 Parlimen Cheras mengadakan Program Jamuan Durian bersama Rakan Cacat Penglihatan di Taman Midah pagi tadi.
Jamuan tersebut dirasmikan oleh Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai dan dihadiri seramai 80 rakan cacat penglihatan.
Kok Wai dalam ucapannya berkata walaupun musim durian pada kali ini kian hampir penghujung namun masih sempat menikmati raja buah di dua perayaan yang bakal tiba.
“Perayaan bermakna iaitu Hari Malaysia 2024 dan Perayaan Kuih Bulan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi MPP Sub Zon 3, Leong Ooi Yee berkata objektif jamuan durian itu adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan perpaduan sesama rakyat Malaysia.
“Khususnya di Hari Malaysia yang amat bermakna ini sambil menjamu raja buah iaitu buah durian,” katanya.
Program Jamuan Durian ini turut dianjur bersama Persatuan Amal Indah dengan benefisiarinya rakan cacat penglihatan daripada Persatuan Kebudayaan Cina OKU Penglihatan Malaysia.
Semua yang hadir turut menerima sumbangan sekotak kek bulan yang ditaja oleh Persatuan Amal Indah.
Turut hadir Pengerusi MPP Sub Zon 1 Parlimen Cheras Carmen Leong; Pengerusi MPP Sub Zon 6 Parlimen Cheras Bryan Lew dan AJK-AJK MPP Parlimen Cheras. – WILAYAHKU