Fitnah vs Fakta

Program eMadani tak relevan? Kerajaan bantu ringan beban

Gambar hiasan
- Diterbit 15 Disember 2023 8:30 AM MYT

PADA 4 Disember lalu, orang ramai mula menebus kredit RM100 eMadani yang boleh digunakan bagi pembelian fizikal melalui penyedia perkhidmatan e-dompet yang terpilih.

Program yang dijangka memanfaatkan lebih 10 juta rakyat Malaysia itu merupakan usaha murni kerjaan yang telah diumumkan pada Majlis Peluncuran Kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat pada 27 Julai lalu.

Namun, dalam keghairahan menebus ganjaran tersebut tular pula di laman sosial yang mengatakan program tersebut tidak mesra pengguna kerana agak sukar untuk mendapatkan kredit tersebut.

Malah, terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab turut menyalahkan kerajaan yang dianggap tidak bijak dalam membantu rakyat terutamanya yang terdesak untuk membeli barangan keperluan asas.

Sejujurnya bagi Wilayahku, seharusnya kita berterima kasih dengan pemberian kredit eMadani. Bukan ini sahaja bantuan yang kerajaan peruntukan, banyak lagi yang kita sudah pun nikmati.

Kalau nak bercakap tentang mesra pengguna tu rasanya dah banyak info-info yang disalurkan bagaimana caranya untuk menebus kredit tersebut. Maklumat sekarang semuanya di hujung jari, tinggal klik sahaja. Iya tak?

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sumbangan eMADANI itu dapat meringankan beban kewangan rakyat menjelang akhir tahun serta musim cuti persekolahan selain memupuk budaya pembayaran tanpa tunai.

“Pelaksanaan Program eMADANI adalah selaras dengan komitmen kerajaan untuk menyegerakan pelaksanaan terutama langkah yang menyokong agenda pendigitalan ekonomi negara serta membantu rakyat secara langsung.

“Ia juga boleh dimanfaatkan oleh peruncit atau peniaga yang menerima pembayaran melalui kemudahan kod QR dan DuitNow menggunakan salah satu e-dompet terbabit dan tertakluk kepada transaksi yang dibenarkan,” kata beliau.

Tahukah anda, untuk program ini sahaja kerajaan memperuntukkan RM1 bilion. Bukan satu jumlah yang kecil. Diharapkan ia dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Cukup-cukuplah kondem sana sini.

Penggunaan kredit eMADANI serta manfaat padanan daripada penyedia perkhidmatan e-dompet terlibat hanya boleh dibelanjakan secara fizikal sahaja sehingga 29 Februari 2024.

Empat penyedia perkhidmatan e-dompet yang menyertai program berkenaan adalah MAE, Setel, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet.

Selain RM100 dalam bentuk kredit e-tunai daripada kerajaan, penyedia perkhidmatan e-dompet berkaitan akan memberi insentif tambahan dalam bentuk baucar, pulangan tunai, diskaun atau mata ganjaran sepanjang tempoh program berkenaan.

Bagi yang bertanya, kredit RM100 eMadani ini boleh digunakan di mana? Antara senarainya adalah Aeon, Econsave, Eco, Seven Eleven, 99 Speedmart, Puma, Samsung, Anakku dan banyak lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas