Berita

Program bersiri Kelulut Putrajaya

SEORANG kakitangan menunjukkan cara pengambilan madu daripada sarang kelulut
- Diterbit 21 Jun 2024 4:00 PM MYT

PROJEK penternakan lebah kelulut oleh komuniti Putrajaya dengan kerjasama pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) di bawah Program Pertanian Bandar Wilayah Persekutuan sejak tahun 2015 berjaya mendapat permintaan meluas dari dalam dan luar negara.

Berpotensi tinggi untuk dikomersialkan secara meluas, projek tersebut mencatat kejayaan membanggakan apabila memenangi Malaysian Landscape Architecture Award 2017: Putrajaya Meliponine A Friendly Sustainable Approach (Perbadanan Putrajaya).

Projek penternakan lebah kelulut yang dijalankan di Laman Kelulut Taman Botani Putrajaya, Presint 1, Kebun Kelulut P15H 4/5, Kebun Kelulut Rimba Desa P9 dan Kebun Kelulut P16 itu juga turut menerima lawatan teknikal dari negara-negara ASEAN, agensi dan institusi pendidikan.

Bagi memajukan lagi penternakan kelulut komuniti Putrajaya dengan pengiktirafan melalui pensijilan standard Amalan Pertanian Terbaik (MyGAP), pihak PPj dengan kerjasama National Institute of Biotechnology Malaysia (NIBM) memperkenalkan siri Program Kelulut Putrajaya Ke Arah Amalan Penghasilan Madu Terbaik.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Seksyen Flora dan Fauna, Bahagian Botani PPj, Fatin Nabilah Huda Ismail berkata ia adalah galakan bagi meningkatkan kemahiran dan daya saing peserta program dalam menambah baik dan meningkatkan kelestarian penternakan kelulut di Putrajaya.

“Penganjuran program yang bermula pada pukul 9 pagi hingga 4 petang ini akan melibatkan komuniti penternak kelulut di Putrajaya. Terdapat dua fasa utama iaitu fasa pemindahan teknologi dan fasa pemantauan.

“Bagi fasa pertama, satu kursus akan diadakan selama tiga hari berdasarkan modul yang dibangunkan oleh pihak NIBM bagi pembangunan kelulut lestari dan produk hiliran (Propolis Shower Gel) di Putrajaya. Fasa seterusnya penternak akan dipantau dengan kaedah mentor menti bagi memantau keberkesanan modul yang dijalankan,” ujarnya sijil penyertaan dan makanan turut disediakan untuk para peserta.

Fatin berkata objektif program yang diadakan pada 25 hingga 27 Jun 2024 itu adalah untuk melatih penternak kelulut untuk lebih berkemahiran dan berdaya saing.

“Selain itu, ia juga bertujuan untuk menjaga kelestarian makanan melalui penghasilan madu kelulut yang memenuhi MyGAP selain dapat menghasilkan madu yang memenuhi piawaian dan standard sebenar,” ujarnya.

Dalam masa sama, Fatin memberitahu Laman Kelulut Putrajaya tidak hanya berfungsi sebagai destinasi menarik malah ia juga turut dijadikan sebagai hab pendidikan dan penyelidikan oleh pelbagai pihak termasuklah pelajar universiti dan agensi.

“Sebagai bandar dalam taman, hasrat Putrajaya adalah untuk menjadikan bandar ini sebagai hab pendidikan kelulut dan penyelidikan industri kelulut di negara ini di samping penanaman tumbuh-tumbuhan yang disukai oleh lebah kelulut di sekitar Putrajaya.

“Di lokasi berkenaan turut diletakkan papan maklumat bergambar bagi menerangkan lebih lanjut tentang lebah kelulut seperti jenis kasta, sumber makanan, fakta menarik yang perlu diketahui dan lain-lain.

“Antara perkara yang boleh diketahui oleh pengunjung adalah perbezaan lebah kelulut dan lebah biasa di mana ia sejenis lebah yang tidak mempunyai sengat berbisa berbanding lebah biasa. Lebah kelulut ini juga tidak menggunakan sengatan sebagai pertahanan diri. Selain itu, mereka juga boleh mengetahui ciri-ciri, fungsi, sumber makanan, pelbagai jenis corong kelulut dan sebagainya,” ujarnya.

Terdahulu, penternakan lebah kelulut yang diuruskan penduduk diusahakan sebagai produk kesihatan atau hiliran yang mana ia boleh diperolehi daripada mana-mana kebun yang mengusahakan produk kelulut tersebut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas