SEMPENA acara Festival Filem Malaysia Ke-33 (FFM33) yang bakal berlangsung 7 Disember ini, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menganjurkan Sesi Tayangan dan Apresiasi Filem selama lima hari bermula pada 2 Disember hingga 6 Disember 2024.
Program itu membabitkan tayangan filem-filem yang tercalon bagi kategori Filem Terbaik untuk FFM33.
“Tujuan program apresiasi filem ini adalah untuk membuka peluang penyertaan kepada masyarakat umum yang berminat mengikuti sesi tayangan dan apresiasi filem berkaitan perkongsian idea dan pendapat mengenai filem secara ilmiah bersama ahli panel.
“Selain itu, program ini juga membantu mempromosikan dan meningkatkan publisiti FFM33 dalam kalangan penggiat industri tempatan dan antarabangsa,” ujar FINAS dalam satu kenyataan.
Antara filem yang terlibat adalah Duan Nago Bogho, Imaginur, Mechamato Movie, Hungry Ghost Diner dan Rain Town.
Program Sesi Tayangan & Apresiasi merupakan program sisipan sempena Festival Filem Malaysia.
Program itu juga terbuka kepada orang ramai dan tiada sebarang bayaran dikenakan.
Menurut FINAS lagi, antara intipati aturcara semasa program berkenaan adalah tayangan filem dan kemudian sesi diskusi.
“Bagi sesi tayangan dan apresiasi, antara intipati program apresiasi akan dilaksanakan bermula dengan tayangan jam 8.00 malam di Hall 8, GSC Mid Valley, Kuala Lumpur.
“Sebaik selesai tayangan, sesi apresiasi bersama Moderator dan panel-panel bersama penonton yang hadir akan dimulakan,” ujar kenyataan itu lagi.
FINAS juga akan mengadakan sesi tayangan umum filem-filem yang bertanding sempena FFM33 secara percuma bermula 30 November hingga 6 Disember 2024 di pawagam GSC Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur. – WILAYAH