Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Program amalan terbaik ESG dimanfaatkan lebih 300 peserta PKS tempatan, ASEAN, Hong Kong dan China

- Diterbit 28 Jun 2024 2:30 PM MYT

LEBIH 300 peserta daripada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan, negara anggota ASEAN dan Hong Kong, China menyertai ASEAN Hong Kong, China (AHKC) SMEs Going ESG Policy Dialogue and Workshop 2024 bermula semalam.

Acara anjuran SME Corp. Malaysia itu adalah platform untuk pertukaran ilmu pengetahuan, memupuk kesedaran tentang amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta berkongsi amalan terbaik mengenai kelestarian dalam kalangan negara ASEAN.

Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (tengah) menyempurnakan perasmian ASEAN Hong Kong, China (AHKC) SMEs Going ESG Policy Dialogue and Workshop 2024 di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur.

Majlis perasmian yang turut diadakan sempena sambutan Hari PMKS Sedunia 2024 itu telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Dengan tema ‘Memperkasa Kelestarian PKS’, acara ini dihadiri oleh pegawai kerajaan, pakar ESG, pemilik PKS, wakil daripada institusi kewangan dan ahli akademik, bermatlamat mendidik peserta mengenai kepentingan amalan ESG, pembangunan strategi serta pengukuran dan pemantauan prestasi ESG.

300 oeserta Dialog dan Bengkel : Asean, Hong Kong & China Going ESG 2024 anjuran SME Corp. Malaysia di Kuala Lumpur bermula semalam.

Sesi dialog yang diadakan memberikan tumpuan kepada pembangunan dasar untuk menggalakkan penerapan amalan ESG dalam kalangan PKS, berkongsi kisah PKS yang merintis perjalanan ESG serta mengetengahkan usaha Kerajaan dan agensi di rantau ini dalam aspek ESG.

Sesi perkongsian memberi pendedahan kepada peserta khususnya terhadap amalan terbaik, cabaran dan cadangan yang disampaikan oleh penceramah terkemuka.

Dalam ucaptamanya Ewon Benedick berkata, ASEAN komited untuk menggalakkan kelestarian di rantau ini melalui pelbagai inisiatif.

“Bagi Malaysia, menggalakkan PKS untuk menerapkan amalan ESG adalah satu usaha ke arah mengukuhkan komitmen Kerajaan terhadap Agenda Pembangunan Mampan 2030 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Perjanjian Paris di bawah Persidangan Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (United Nations Framework Convention on Climate Change, UNFCCC).

“Mempercepat penerapan ESG juga adalah antara inisiatif yang dirancang di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) 2021 – 2025,” katanya.

Turut hadir pada majlis perasmian berkenaan adalah Ketua Setiausaha KUSKOP; Datuk Sri Suriani Datuk Ahmad, Pengerusi SME Corp. Malaysia; Tan Sri Panglima Bernard Giluk Dompok, Ketua Pengarah Pejabat Ekonomi dan Perdagangan Hong Kong, Jakarta; Libera Cheng Ching-mon dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia; Rizal Datuk Nainy.

Sementara itu, Bernard Giluk Dompok berkata, SME Corp. Malaysia sangat komited terhadap pertumbuhan dan pembangunan PKS yang berdaya tahan.

“Kami telah mengenalpasti bidang tumpuan utama sebagai pemangkin untuk mempercepatkan kapasiti dan keupayaan PKS dengan ESG sebagai komponen utama,” katanya.

Dalam pada itu, Rizal Datuk Nainy berkata, menjadi sebuah firma yang bersedia dalam menerapkan ESG (ESG-ready) adalah satu kelebihan besar bagi PKS untuk mengakses pasaran tempatan dan global.

“SME Corp. Malaysia telah melancarkan Panduan Pantas ESG untuk PMKS bagi memudahkan penerapan amalan ESG dalam kalangan PMKS, yang boleh dimuat turun secara percuma setelah melaksanakan penilaian ESG di laman sesawang kami.

“Mengambilkira kepentingan amalan ini, SME Corp. Malaysia juga telah mengambil inisiatif untuk mengiktiraf PMKS yang secara aktif mengintegrasikan amalan ESG ke dalam perniagaan dan strategi syarikat melalui anugerah khas baharu yang diperkenalkan di bawah Program Anugerah Enterprise 50 (E50) tahun ini, iaitu Anugerah Amalan ESG Terbaik E50,” katanya.

KETUA Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia; Rizal Datuk Nainy.

Selain sesi dialog dan perkongsian, peserta juga berpeluang mengambil bahagian dalam sesi bengkel yang memberikan pengetahuan praktikal dan boleh diguna pakai dalam membangunkan pelan kelestarian perniagaan firma dan membimbing mereka dalam menyediakan pelaporan ESG.

Bengkel ini bertujuan untuk meningkatkan pemahaman dan pengetahuan peserta tentang amalan ESG dan menggalakkan mereka untuk mengambil langkah pertama dalam perjalanan ESG.

Acara ini disokong oleh ASEAN Hong Kong, China Free Trade Agreement Economic and Technical Cooperation (AHKCFTA ECOTECH) Work Programme. – WILAYAHKU

 

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas