KERAJAAN dilihat terus komited terhadap kemajuan teknologi 5G di Malaysia yang bakal memanfaatkan seluruh rakyat merentasi pelbagai industri. Malah, baru-baru ini, pihak kerajaan juga mengumumkan model dwirangkaian akan diterima pakai untuk pelancaran 5G di negara ini pada tahun 2024.
Di bawah model tersebut, perkhidmatan 5G akan ditawarkan sebaik liputan mencapai 80 peratus kawasan berpenduduk melalui rangkaian Digital National Berhad (DNB).
Peralihan teknologi ini juga dilihat bakal memberi impak terhadap sektor pembuatan. Oleh itu, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menganjurkan Program ‘5G TechVerse: Transforming Manufacturing with the power of 5G’ buat para pemain industri terlibat bagi membincangkan mengenai perubahan yang bakal berlaku.
Program tersebut merupakan platform bagi para pemain industri untuk meneroka potensi luar biasa teknologi 5G dan kesan mendalamnya terhadap industri pembuatan.
Menurut Ketua Pegawai Teknologi & Inovasi, Shamsul Izhan Abdul Majid, MCMC komited untuk memupuk ekosistem digital yang memacu inovasi, pertumbuhan ekonomi dan pembangunan masyarakat.
“Kami amat percaya bahawa teknologi, terutamanya 5G, memegang janji yang besar dalam mengubah industri dan mencipta masa depan digital yang bertenaga untuk Malaysia.
“Program yang diadakan ini adalah bukti dedikasi kami dalam memacu kesedaran dan memupuk kerjasama dalam kalangan perusahaan, pengilang dan pemain 5G yang bertujuan untuk memberi pemahaman menyeluruh tentang potensi dan aplikasi praktikal 5G dalam sektor pembuatan,” katanya dalam ucapan ketika Program 5G TechVerse: Transforming Manufacturing with the power of 5G yang diadakan di Auditorium MCMC, Cyberjaya baru-baru ini.
Beliau berkata menerusi program itu juga pakar-pakar, pemimpin pemikiran dan perintis industri dikumpulkan untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman mereka dalam memberi inspirasi serta membimbing ke arah perjalanan transformatif ini.
“Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan kongsi kami atas sokongan yang tidak berbelah bahagi.
“Diharapkan menerusi platform ini, segala ilmu pengetahuan yang dikongsi, hubungan yang dijalinkan dan kerjasama yang dipupuk membuka jalan ke arah masa depan yang lebih cerah dengan teknologi dan pembuatan bergabung untuk mewujudkan hari yang lebih baik,” ujar beliau yang turut melahirkan harapan agar lebih banyak peluang dapat diterokai selepas penganjuran program berkenaan.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi & Digital, Ma. Sivanesan Marimuthu berkata pihaknya menyedari bahawa 5G adalah pengubah untuk industri pembuatan dengan keupayaannya untuk meningkatkan produktiviti dan memacu automasi.
“Penggunaan teknologi 5G dilihat akan meningkatkan persaingan, memacu inovasi dan mewujudkan persekitaran yang kondusif kepada kemajuan teknologi yang pesat di Malaysia.
“Menerusi Program 5G Techverse ini juga dapat dilihat komitmen kerajaan untuk membina masa depan digital untuk Malaysia. Penerimaan model dwirangkaian merupakan satu langkah ke hadapan yang penting dan bukti keazaman kami untuk mewujudkan persekitaran bagi memastikan teknologi 5G boleh berkembang maju, memberi manfaat kepada perniagaan, industri dan masyarakat secara keseluruhan,” ujar beliau.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kesemua peserta terlibat serta pihak MCMC yang mewujudkan platform buat para pemain industri meneroka mengenai kelebihan 5G dalam sektor pembuatan.
“Saya menggesa semua peserta untuk merebut peluang ini untuk belajar, bekerjasama dan membayangkan masa depan 5G yang akan merevolusikan sektor pembuatan, memacu inovasi, produktiviti dan daya saing. Marilah kita bersama-sama memulakan perjalanan transformasi digital ini dan membina Malaysia yang makmur dan maju dari segi teknologi,” jelas beliau. – WILAYAHKU