Berita

Program 2 Tahun Kerajaan MADANI martabat rakyat dan negara

- Diterbit 24 November 2024 11:59 AM MYT

PROGRAM 2 Tahun Kerajaan Madani mencerminkan usaha kerajaan yang tekad untuk mengangkat martabat rakyat dan negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata program itu turut meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai hala tuju serta matlamat kerajaan MADANI yang berpaksikan kepentingan dan keperluan rakyat.

“Pagi ini saya melihat sambutan yang luar biasa terutamanya di dewan pameran ketika saya menghadiri Majlis Perasmian Program 2 Tahun Kerajaan MADANI (2TM) yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di KL Convention Centre.

‘Program yang bertemakan ‘MADANI di Hati, Rakyat Disantuni’ ini adalah bersempena menyambut kejayaan dan kecemerlangan kerajaan MADANI yang telah memasuki tahun kedua pimpinan Perdana Menteri,” katanya di Facebook.

Menurut Zaliha, sewaktu sesi townhall berlangsung, Perdana Menteri singgung mengenai penganjuran program itu sebagai suatu platform untuk melihat kemajuan yang telah dikecapi dan merancang langkah-langkah baru bagi memastikan Malaysia kekal makmur lagi maju.

Zaliha berkata Anwar juga mengingatkan untuk sentiasa fokus dalam setiap perkara yang dilakukan, di samping memastikan arus pembangunan perdana dan kemajuan di Kuala Lumpur harus menyantuni semua golongan di ibu kota ini.

“Esok pula, Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam akan berlangsung di tempat yang sama.

“Berkesempatan juga melawat reruai Jabatan Wilayah Persekutuan menyantuni orang ramai yang turut bersama memeriahkan konvensyen ini,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas