Lensa

Profesional berdepan tugasan mencabar

- Diterbit 11 Oktober 2024 12:05 PM MYT

Oleh: AMIN FARIJ HASAN
Foto: UNIT FOTO DBKL

PERANAN Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai pihak berkuasa tempatan yang menjaga imej ibu negara di mata dunia sangat mencabar. Pelbagai masalah harus diselesaikan dengan begitu teliti agar semua pihak terutamanya warga kota hidup dalam aman serta harmoni.

Menyingkap sejarah‚ Jabatan Penguatkuasa DBKL ditubuhkan pada tahun 1969 di mana ketika itu ia dianggotai seorang pegawai inspektor dan lapan orang anggota sahaja. Kemudian pada tahun 1970 seramai 48 orang bekas anggota polis dan tentera telah dilantik menjadi penguat kuasa ibu kota dan seiring dengan pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai bandar raya pada tahun 1974‚ pasukan ini telah diisytiharkan sebagai Pasukan Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan kini dikenali sebagai Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan di dalam direktorat DBKL.

Anggota penguat kuasa memainkan peranan yang penting dalam menyelesaikan setiap konflik dari sekecil-kecil perkara sehinggalah permasalahan besar memandangkan merekalah yang paling hampir dengan masyarakat.

Tahap kesabaran yang tinggi diperlukan dalam menghadapi pelbagai kerenah masyarakat yang adakalanya tidak berpuas hati apabila dikenakan tindakan kerana melanggar undang-undang dan sebagainya. Di sinilah penguat kuasa perlu menunjukkan komitmen secara profesional dengan mengutamakan pendekatan berbudi bahasa kerana mereka merupakan barisan hadapan DBKL.

Sebagai menghargai peranan anggota penguat kuasa‚ pada tarikh 3 Oktober 2024 yang lalu Datuk Bandar Kuala Lumpur‚ Datuk Seri TPr Dr Maimunah Mohd Sharif hadir bagi melengkapkan Sambutan Hari PenguatKuasa ke-55 dengan melakukan istiadat pemeriksaan perbarisan dan menyampaikan anugerah pingat kepada anggota yang berkhidmat dengan cemerlang. – WILAYAHKU

Lensa:

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas