EKSPO Pelancongan dan Makanan Halal yang sedang berlangsung merupakan antara ruang terbaik mempromosikan produk dan perkhidmatan usahawan pelancongan Bumiputera dari seluruh negara.
Presiden Persatuan Usahawan Pelancongan Malaysia (PUPEM), Kamarun Ab. Rahman berkata ahli persatuan itu akan mempamer dan menawarkan produk serta perkhidmatan pelancongan menarik kepada pelancong dalam dan luar negara.
“Persatuan kami akan menawar dan menyediakan produk serta perkhidmatan menarik termasuk inap desa, bot pelancong, produk makanan, kraf dan perkhidmatan lain.
“Kami membawakan ahli-ahli kami yang mempunyai bertahun-tahun pengalaman dalam bidang masing-masing. PUPEM ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Bank Rakyat yang mengundang kami menyertai ekspo ini,” katanya.
Kamarun berkata sejak ditubuhkan tiga tahun lalu, persatuan itu kini dianggotai oleh lebih 200 usahawan Bumiputera dari seluruh negara dalam pelbagai bidang produk pelancongan.
“Antara kegiatan kami ialah mengadakan kursus berkaitan pengurusan, pengendalian premis dan pusat pelancongan serta kursus asas perniagaan termasuk bengkel pengurusan kewangan,” ujarnya.
Tambahnya, PUPEM juga telah menubuhkan sebuah stesen radio pelancongan yang dinamakan MyTour Radio yang bersiaran melalui laman sesawang https://mytourradio.com dan boleh didengari di seluruh dunia.
Jelasnya, stesen itu akan menyiarkan kegiatan ahli PUPEM serta produk dan perkhidmatan yang mereka tawarkan.
“Oleh itu, kami menjemput semua usahawan pelancongan Bumiputera untuk menjadi ahli PUPEM bagi menyertai program pemantapan usahawan yang kami anjurkan serta berpeluang mempromosi produk mereka di MyTour Radio.
“Kami sekarang sedang menjalankan siaran ujian. Stesen itu digerakkan oleh tenaga pakar terdiri daripada penyiar veteran RTM yang akan diumumkan apabila kami memulakan operasi sepenuhnya dalam masa terdekat,” katanya.
Terdahulu, Ekspo Pelancongan dan Makanan Halal berlangsung di Menara Kembar Bank Rakyat bermula 21 hingga 25 Ogos 2024.