KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) membatalkan notifikasi produk kosmetik JL Fara Seaweed kerana dikesan mengandungi merkuri.
Justeru, KKM menerusi kenyataan medianya menggesa orang awak mengelak daripada membeli dan menggunakan produk kosmetik berkenaan serta merta.
“Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadan dan Kosmetik 1984.
“Orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers,”menurut KKM dalam kenyataannya.
Merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan buah pinggang dan sistem saraf serta boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak masih kecil atau yang belum dilahirkan.
Individu yang melakukan kesalahan itu boleh dikenakan denda maksimum RM25,000 atau hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama, dan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya.
Syarikat yang melanggar peraturan itu pula boleh didenda hingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan hingga RM100,000 bagi kesalahan berikutnya.-WILAYAHKU