DALAM usaha untuk memperbaiki kebajikan haiwan peliharaan, Persatuan Rakan Kucing Malaysia (PRKM) dan Pet Universe menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan mengukuhkan komitmen menggalakkan pemilikan haiwan yang bertanggungjawab.
Majlis menandatangani MoU itu diadakan di Wisma Pet Universe di Ampang, Selangor.
Menurut Pet Universe, kerjasama itu turut mengukuhkan kerjasama bersama dalam meningkatkan kesedaran tentang kebajikan kucing sambil menekankan peranan penting haiwan peliharaan sebagai ahli keluarga.
Ia menandakan bab baharu kerjasama antara PRKM, sebuah organisasi yang komited dalam memperjuang kebajikan kucing, dan Pet Universe, penyedia perkhidmatan penjagaan haiwan peliharaan berkualiti tinggi termasuk makanan haiwan, dandanan, akademi, hotel dan pusat perubatan veterinar.
Kerjasama itu memperkukuh inisiatif diperkenalkan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga penaung PRKM, semasa pelancaran Taman Kucing Madani, tahun lalu.
“PRKM akan memainkan peranan penting dalam mendidik masyarakat tentang amalan penjagaan kucing yang bertanggungjawab manakala Pet Universe akan menyediakan kemudahan dan kepakarannya yang bertaraf tinggi.
“Kerjasama ini melibatkan penganjuran bengkel, seminar dan aktiviti yang bertujuan melibatkan serta mendidik masyarakat tentang penjagaan haiwan peliharaan sebagai ahli keluarga yang dihargai,” jelas Pet Universe.
Terdahulu MoU tersebut ditandatangani antara Setiausaha PRKM, Mohd Edi Armishah Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pet Universe, Dr Anya Chiu.
Majlis menandatangani MoU tersebut disaksikan Dr Wan Azizah yang juga isteri Perdana Menteri dan turut dihadiri Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.
Terdahulu dalam ucapannya, Dr Wan Azizah berkata, hubungan yang baik antara manusia dan haiwan peliharaan, khususnya kucing, dilihat mampu meningkatkan kualiti hidup.
Beliau mahu usaha menjaga kebajikan haiwan peliharaan terutama ‘kucing gelandangan’ ditingkatkan dengan penjagaan yang lebih baik dan seterusnya dijadikan ‘kucing angkat’.
Dr Wan Azizah kemudiannya diberi penghormatan menamakan seekor anak kucing yang diselamatkan Pet Universe baru-baru ini dan memilih nama ‘Snowflake’. – WILAYAHKU