Berita

PRK Mahkota: Calon BN tiada rekod jenayah

- Diterbit 27 September 2024 9:23 AM MYT

POLIS mengesahkan calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussein Syed Abdullah tidak mempunyai rekod sabitan jenayah di bawah kesalahan boleh daftar dalam konteks Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang Tidak Diingini 1969.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, siasatan yang dijalankan bersabit kes didakwa melibatkan Syed Hussein itu telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwaraya dan diarahkan supaya tiada tindakan lanjut (no further action).

Menurut beliau, tiada mana-mana pihak yang dituduh dalam kes berkenaan termasuk calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota itu.

“Polis menasihatkan parti politik agar berkempen secara sihat dan tidak mengeksploitasi isu agama, raja dan kaum atau membuat kenyataan palsu terhadap individu lain,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Bahrin memberitahu, orang ramai juga diminta agar tidak membuat sebarang spelukasi atau mudah percaya kenyataan palsu tanpa ditentukan kesahihannya terlebih dahulu.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang dengan sengaja mengeluarkan kenyataan yang boleh menyebabkan kegentaran kepada awam.

Terdahulu katanya, pihak polis mengesan satu pautan di laman media sosial bertarikh 26 September lalu berhubung dakwaan bahawa isu calon daripada BN itu dipercayai mempunyai rekod jenayah.

Semalam seorang pemimpin parti politik pembangkang menunjukkan dokumen yang didakwanya laporan polis menyatakan Syed Hussein terlibat kes jenayah.

Walau bagaimanapun Syed Hussein menafikan dakwaan terbabit dan menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemimpin pembangkang berkenaan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas