Selebriti

Prihatin isu banjir

- Diterbit 27 September 2024 7:01 PM MYT

KEHIDUPAN kita sebagai manusia di muka bumi tidak terlepas daripada ujian sama ada dalam bentuk kesusahan mahupun kesenangan dan seharusnya diterima dengan reda dan syukur.

Malah setiap kejadian atau musibah seperti banjir yang melanda beberapa buah negeri ketika ini adalah ujian buat mangsa dan seluruh rakyat Malaysia.

Pelbagai bentuk bantuan dan tanda prihatin ditunjukkan masyarakat terhadap mangsa.

Selain menyumbang ke tabung banjir, masyarakat khususnya golongan selebriti seperti Datuk Alha Alfa, Rozita Che Wan dan Ezad Lazim juga memainkan peranan memberikan nasihat serta kata-kata semangat buat mereka yang terkesan.

Ujian buat semua

AKTRES popular, Rozita Che Wan menganggap banjir yang berlaku di beberapa negeri di utara Semenanjung Malaysia seperti Kedah, Pulau Pinang dan Perlis adalah ujian buat semua.

Menurut isteri pelakon Zain Saidin yang mesra disapa Che Ta, ujian itu bukan hanya untuk mangsa banjir, tetapi juga buat semua rakyat Malaysia.

“Apabila terjadi sesuatu musibah, Allah nak angkat darjat mereka yang menjadi mangsa banjir sekarang ini. Sebenarnya banjir ini bukan sahaja ujian buat mereka tetapi juga ujian buat kita semua.

“Kita di Kuala Lumpur ini tak ada banjir, tapi ujian buat kita sama ada prihatin atau tidak dalam membantu mereka. Kita ambil tahu atau tidak.

“Dalam membantu mereka pula, ada pelbagai cara dan ikutlah kemampuan masing-masing. Ada yang menderma, turun padang, menguar-uarkan tentang banjir ini, mendoakan segala urusan dipermudah dan sebagainya,” ujarnya.

Che Ta juga menyatakan rasa kagumnya apabila berlaku bencana alam, rakyat Malaysia saling membantu dan mendoakan tanpa henti.

“Ia sebenarnya merapatkan jurang atau mengeratkan tali persaudaraan sesama kita. Baik pemerintah, badan bukan kerajaan  (NGO) atau rakyat, kita saling membantu mereka yang memerlukan dengan cara masing-masing,” ujarnya.

Ezad trauma bila hujan

BANJIR bukanlah perkara asing buat penyanyi Ezad Lazim kerana setiap kali hujan lebat menjadi trauma buatnya dan isteri, Zeana Ramli.

Menurut Ezad, dia tidak dapat melupakan apabila rumahnya di Kota Warisan, Sepang, Selangor sering terkesan dengan banjir.

“Rumah kami pun pernah banjir beberapa kali. Jadi, apabila hujan saja, risau sangat. Rasa macam trauma dan anxiety (kebimbangan yang melampau) apabila hujan turun lebat.

“Saya masih ingat lagi, pernah satu ketika rumah dilanda banjir ketika saya sedang menyertai program realiti, All Stars Gegar Vaganza (ASGV) tahun 2023.

“Sudah tentu ia sangat mengganggu emosi dan mood saya ketika itu sehingga saya hilang fokus ketika membuat persembahan,” ujarnya.

Sementara itu, Zeana turut menyarankan kepada mereka yang ingin membeli kediaman agar memilih lokasi yang bebas banjir.

Dia juga berharap pemaju dan pihak berwajib mengambil cakna akan hal ini memandangkan ia memainkan peranan penting dalam kehidupan.

Lancar misi bantuan

AHLI perniagaan dan jurusolek profesional, Datuk Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil atau Alha Alfa antara selebriti yang cepat bertindak dengan melancarkan misi bantuan banjir di Alor Setar, Kedah, baru-baru ini.

Misi yang digerakkan oleh Persatuan Erat Kasih ALHA ALFA (PEKAA) dengan kerjasama  Alha Alfa Cosmetics, Musollah Aisya dan AICT ini menandakan keprihatinannya dalam apa sahaja isu yang melibatkan masyarakat.

“Saya melancarkan misi bantuan banjir di Kedah selepas kawasan tersebut dilanda banjir besar baru-baru ini.

“Pasukan PEKAA yang terdiri daripada hampir 20 orang ini bekerjasama rapat dengan jawatankuasa masjid tempatan untuk memberikan bantuan kepada komuniti yang terjejas.

“Makanan berlauk telah dimasak oleh kami sendiri dan diedarkan kepada mangsa banjir di kawasan seperti Seberang Pumpong, Gunung dan Titi Gajah. Selain itu, kami turut menyumbangkan wang tunai, kit kebersihan diri, keperluan bayi serta barangan penjagaan warga emas juga disediakan,” ujarnya.

Katanya dalam situasi sukar untuk mendapatkan makanan, maka sebanyak 500 pek makanan kering berjaya diagihkan.

“Alhamdulillah, apa yang kami rancang berjalan lancar. Iya, turun ke lokasi banjir sudah tentu ada cabarannya, nama pun tempat banjir.

“Saya turut berterima kasih kepada aktres terkenal Datin Paduka Umie Aida kerana sudi ke lokasi banjir bersama kami. Saya terharu dengan kesudian beliau,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas