KETUA Kontinjen Wilayah Persekutuan (CDM), Datuk Parang Abai @ Thomas memuji prestasi cemerlang dan luar biasa dipamerkan semua atlet Wilayah Persekutuan (WiPers) yang bertanding pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.
Beliau berkata semangat juang tinggi yang dipamerkan setiap atlet bertanding telah berjaya membawa kepada kejayaan memecahkan beberapa rekod kebangsaan dan temasya kali ini.
“Pencapaian WiPers mengumpul 75 pingat emas dan melepasi sasaran 70 emas di SUKMA 2024 sangat membanggakan. Kejayaan ini merupakan doa semua warga Wilayah Persekutuan. Terima kasih buat semua atlet di atas pencapaian yang sangat membanggakan.
“Lebih membanggakan, di sebalik perjuangan untuk meraih kemenangan dalam acara yang ditandingi, para atlet tetap bersaing dengan semangat perpaduan dan menjalin hubungan akrab dalam kalangan atlet daripada kontinjen lain.
“Semangat kesukanan dan perpaduan yang sangat hebat ini yang kita hendak pupuk dan perlu dikekalkan. Tahniah kepada semua kontinjen atas pencapaian masing-masing,” ujarnya.
Sementara itu, Wilayah Persekutuan menamatkan saingan pada SUKMA 2024 di tempat kedua dengan 75 pingat emas, 65 perak dan 72 gangsa.
Parang Abai turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri dan semua pihak atas kejayaan penganjuran SUKMA 2024 yang disifatkan beliau sebagai antara yang terbaik pernah dianjurkan di Malaysia.
Temasya edisi ke-21 yang bermula secara rasmi pada 17 Ogos lepas itu melabuhkan tirainya pada Ahad. Sarawak muncul juara SUKMA 2024 dengan merangkul 76 pingat emas, 55 perak dan 70 gangsa.
SUKMA diperkenalkan pada 1986 dan Sarawak pernah menjadi tuan rumah temasya dwitahunan kebangsaan itu pada 1990 dan 2016. – WILAYAHKU