Berita

Prestasi ringgit dipengaruhi faktor-faktor luaran

- Diterbit 20 Februari 2024 9:15 PM MYT

PRESTASI ringgit baru-baru ini telah dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran, sama seperti mata wang serantau lain.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata antara faktor tersebut termasuk pelarasan pasaran kepada jangkaan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang berubah-ubah, kebimbangan geopolitik dan ketidakpastian berkaitan dengan prospek ekonomi China.

“BNM berpandangan bahawa paras ringgit baru-baru ini tidak mencerminkan prospek positif ekonomi Malaysia pada masa akan datang.

“Pertumbuhan pada tahun 2024 akan didorong oleh permintaan luaran yang bertambah baik dan perbelanjaan dalam negeri yang kukuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Abdul Rasheed, unjuran terkini Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menunjukkan bahawa perdagangan global akan meningkat daripada 0.4 peratus pada tahun lepas kepada 3.3 peratus pada tahun ini.

“Bagi Malaysia, eksport telah mencatatkan penambahbaikan yang stabil sejak suku keempat tahun 2023, malah, eksport bulan Januari 2024 yang diumumkan baru-baru ini juga positif berkembang sebanyak 8.7 peratus.

“Sektor pelancongan telah pulih dengan kukuh dan ketibaan pelancong pada tahun 2024 dijangka mengatasi paras sebelum pandemik iaitu 26 juta.

“Momentum pelaburan juga meningkat berikutan pelaksanaan projek-projek yang telah diluluskan dalam sektor swasta dan awam,” ujarnya.

Jelas beliau, susulan perkembangan-perkembangan positif ini bersama-sama dengan komitmen kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan struktur dan jangkaan bahawa kadar faedah akan diturunkan di negara-negara maju, kebanyakan penganalisis membuat jangkaan bahawa ringgit akan menambah nilai pada tahun ini. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas