Berita

Prestasi pelancongan negara rekod pertumbuhan negatif 78.6 peratus dari Jan – Sep 2020

- Diterbit 7 Disember 2020 4:04 AM MYT

MALAYSIA terus merekodkan pertumbuhan negatif bagi prestasi pelancongan negara secara keseluruhan berikutan wabak pandemik COVID-19 yang menular di seluruh dunia.

Bagi tempoh Januari hingga September 2020, Malaysia menerima ketibaan seramai 4,299,419 pelancong antarabangsa berbanding dengan 20.1 juta pelancong bagi tempoh sama pada tahun 2019, iaitu penurunan sebanyak 78.6%.

Dari segi perbelanjaan pelancong, Malaysia merekodkan RM12.6 billion iaitu penurunan sebanyak 80.9% berbanding RM66.1 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun 2019. Perbelanjaan per kapita turut mencatat penurunan sebanyak 10.7% dari RM3,289.30 pada tahun 2019 ke RM2,938.40 pada tahun ini.

Sepuluh pasaran utama ke Malaysia masih didominasi negara-negara yang sama iaitu Singapura (1,543,627), Indonesia (710,118), China (403,055), Thailand (372,075), India (155,448), Brunei (135,848), Korea Selatan (119,364), Jepun (73,891), Australia (72,369) dan Filipina (65,601).

Setiap pasaran mengikut rantau menunjukkan pertumbuhan negatif melebihi 70 peratus iaitu pasaran jarak dekat atau ASEAN (-78.8%), pasaran jarak sederhana (-80.0%) dan pasaran jarak jauh (-74.0%).

Ketibaan pelawat harian (excursionists) di Malaysia pula mencatatkan sejumlah 1,733,101 pelancong, iaitu penurunan sebanyak 74.9% berbanding 6,905,378 orang yang telah melawat Malaysia bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.

Malaysia terus mencatatkan penurunan ketibaan pelancong asing bagi suku ketiga ini berikutan penutupan sempadan negara sejak 18 Mac yang merupakan langkah proaktif kerajaan untuk membendung wabak pandemik COVID-19 di Malaysia.

Memandangkan impak besar yang dibawa oleh pandemik ini kepada masyarakat global, negara-negara lain tidak terkecuali dari mengalami kesannya dari segi pencapaian pelancongan. Menurut sumber dari Pacific Asia Travel Association (PATA), negara-negara jiran termasuk Thailand, Singapura, Vietnam dan Indonesia, juga mencatatkan pertumbuhan negatif melebihi 70 peratus disebabkan larangan perjalanan antarabangsa yang dikuatkuasakan di negara masing-masing. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas