PRESTASI kewangan Kerajaan Persekutuan pada tahun lalu secara keseluruhannya adalah lebih baik berbanding 2022 berdasarkan peningkatan lebihan hasil sejumlah RM2.028 bilion.
Perkara itu dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2024 mengenai penyata kewangan Kerajaan Persekutuan 2023 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.
Ia merupakan pembentangan LKAN yang ketiga dalam tahun ini di Parlimen selepas pembentangan pada 6 Mac dan 4 Julai lalu.
LKAN kali ini memberi tumpuan kepada dua isu iaitu laporan prestasi pelaksanaan projek pembangunan di bawah Rolling Plan 3 Rancangan Malaysia Ke-12 sehingga 31 Disember 2023 dan Fokus Utama Audit terhadap perkara material dan signifikan yang memberi kesan kepada prestasi kewangan Kerajaan Persekutuan pada 2023.
Menurut kenyataan Ketua Audit Negara pada Isnin, kedudukan defisit menunjukkan penurunan sejumlah RM8.595 bilion menjadikan nisbah defisit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menurun 5.0 peratus berbanding 5.5 peratus pada 2022.
Menurutnya, baki defisit Kumpulan Wang Pembangunan sejumlah RM10.217 bilion menunjukkan penurunan sejumlah RM1.734 bilion (14.5 peratus) berbanding RM11.951 bilion pada 2022.
“Walau bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan perlu memberi perhatian terhadap trend peningkatan Liabiliti Persekutuan yang terdiri daripada Hutang Persekutuan dan Liabiliti Kewangan yang meningkat sejumlah RM92.038 bilion (6.6 peratus) kepada RM1.492 trilion berbanding RM1.400 trilion pada 2022.
“Selain itu, Komitmen Jaminan pada 2023 oleh Kerajaan Persekutuan terhadap 13 syarikat telah meningkat sejumlah RM3.288 bilion (1.5 peratus) berbanding RM224.116 bilion pada 2022. Dividen yang diterima oleh Kerajaan Persekutuan telah menunjukkan penurunan ketara sejumlah RM9.756 bilion (17.5 peratus) berbanding
sejumlah RM55.815 bilion,” katanya.
Ketua Audit Negara menambah, secara keseluruhannya Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan menunjukkan gambaran yang benar dan saksama tentang kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan bagi tahun berakhir 31 Disember 2023.
Katanya, Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2023 telah diberi Sijil Ketua Audit Negara dengan Pendapat Tanpa Teguran (Unmodified Opinion) dengan Perenggan Hal-hal Lain (Other Matters).
“Kerajaan Persekutuan hendaklah mengurangkan defisit fiskal dan kebergantungan kepada pinjaman baharu dengan meningkatkan kecekapan kutipan hasil, melaksanakan perbelanjaan bersasar dan mempunyai nilai untuk wang (value for money) serta memantapkan tatakelola pengurusan kewangan syarikat-syarikat Kerajaan,” katanya. – WILAYAHKU