TIGA pasukan petugas khas (task force) membabitkan Sektor Pelancongan, Pemindahan Kargo dan Jambatan Labuan – Menumbok menunjukkan prestasi kemajuan yang baik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata penubuhan tersebut untuk memacu semula pembangunan Labuan.
“Dari Task Force Pelancongan setakat ini kita melihat ia menunjukkan prestasi yang baik dan boleh melihat bahawa produk-produk pelancongan di Labuan semakin bertambah sama ada daripada pelancongan secara domestik mahupun peringkat antarabangsa.
“Penganjuran Borneo Art Festival (BAF) yang mempunyai unsur-unsur antarabangsa baru-baru ini juga menjadi satu acara yang menunjukkan sambutan yang amat baik.
“Pada BAF 2024 juga kita telah menerima penyertaan negara-negara jiran iaitu Brunei, Indonesia dan Filipina dan saya berharap usaha ini harus diperkembangkan lagi.
“Saya melihat Task Force Pelancongan ini terus bergerak ke hadapan dengan usaha secara berterusan dalam mempromosikan produk-produk di Labuan,” katanya.
Mengulas lanjut, Zaliha berkata bagi Task Force Pemindahan Kargo kapal ke kapal akan terus dilaksanakan melibatkan beberapa perbincangan di peringkat teknikal selain beberapa dasar yang perlu diselesaikan.
“Bagi perkembangan Task Force Jambatan Labuan – Menumbok, saya telah menerima berita daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) yang akan memberikan peruntukan awal sebanyak RM500,000 bagi pelaksanaan kajian teknikal.
“Alhamdulillah, lebih kurang dalam 10 bulan menjaga Labuan, kita nampak banyak perkembangan yang baik telah dicapai antaranya dari sudut jumlah penerbangan ke Labuan walaupun kita masih belum mendapat jumlah penerbangan yang diminta namun setiap penerbangan ke Labuan sentiasa penuh.
“Ini jelas menunjukkan bahawa Labuan semakin dilawati oleh pengunjung luar. Selain itu, dari segi pertukaran kru sektor minyak dan gas juga turut diwujudkan semula di sini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Zaliha memberitahu kesinambungan lawatan kerja beliau ke China baru-baru ini telah menyakinkan beberapa firma perindustrian di China menyasarkan peluang pelaburan di Labuan terutama dalam sektor kewangan dan pembangunan sekali gus menggariskan potensi Labuan sebagai hab ekonomi yang berdaya maju di Asia.
Beliau berkata lawatan kerja ke bandar utama China baru-baru ini seperti Hangzhou, Shanghai dan Shenzhen bertujuan membina hubungan dan memupuk minat pelabur di negara tersebut untuk melabur khususnya di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. – WILAYAHKU