PRESIDEN Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada 4 dan 5 Februari ini.
Menurut Wisma Putra, ia merupakan lawatan pertama beliau ke negara ini sejak dilantik sebagai Presiden Uzbekistan pada Disember 2016.
Jelasnya, pemimpin itu akan diiringi tujuh menteri Kabinet, termasuk Menteri Luar Negeri, Bakhtiyor Saidov dan pegawai-pegawai kanan kerajaan yang lain.
“Mirziyoyev akan diberikan majlis sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putera, Putrajaya pada 5 Februari diikuti pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Mereka dijangka meneliti kemajuan hubungan dua hala Malaysia-Uzbekistan, terutamanya dalam perdagangan dan pelaburan, industri halal, pendidikan, kesalinghubungan dan pelancongan, susulan lawatan rasmi oleh Perdana Menteri ke Uzbekistan pada Mei 2024,” menurut Wisma Putra dalam kenyataan pada Selasa.
Wisma Putra menambah, kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, termasuk Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
“Selanjutnya, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU), iaitu MoU Kerjasama dalam bidang Kesihatan, MoU Kerjasama dalam bidang Sains Forensik, dan MoU dalam bidang Budaya, serta empat Pertukaran Nota, iaitu dalam Pengajian Tinggi, Latihan Diplomatik, Halal dan Kastam.
“Perdana Menteri juga akan mengadakan mesyuarat makan tengah hari rasmi di Kompleks Seri Perdana bagi meraikan Mirziyoyev,” katanya.
Jelas Wisma Putra, kedua-dua pemimpin turut dijangka hadir ke Forum Perniagaan Malaysia-Uzbekistan di Kuala Lumpur.
Forum itu katanya, akan memberi peluang untuk meneroka kerjasama ekonomi dan mengukuhkan lagi hubungan perniagaan antara komuniti perniagaan kedua-dua negara.
Jelasnya, kedua-dua pemimpin akan menghadiri majlis makan malam yang dihoskan oleh Petronas.
Pada 2024, jumlah perdagangan Malaysia dengan Uzbekistan menurun sedikit sebanyak 13.2 peratus kepada RM369.8 juta (AS$80.9 juta) daripada RM426.1 juta (AS$94 juta) pada 2023.
Imbangan dagangan memihak kepada Malaysia berjumlah RM360.3 juta (AS$78.9 juta).
Pada 2024, Uzbekistan kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia di kalangan negara-negara Asia Tengah. – WILAYAHKU