Berita

Presiden Turkmenistan adakan lawatan rasmi ke Malaysia

- Diterbit 18 Disember 2024 9:15 AM MYT

PRESIDEN Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedow akan mengadakan lawatan rasmi ke negara ini bermula hari ini sehingga esok.

Menurut Wisma Putra, ini merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia sejak dilantik sebagai Presiden Turkmenistan pada Mac 2022.

Jelasnya, beliau akan diiringi enam Timbalan Perdana Menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Negeri, Rashid Meredov.

Delegasi lagi termasuk lima Menteri termasuk Menteri Pertahanan, Begench Gundogdyyev; Menteri Tenaga, Maksat Babayev; Menteri Kebudayaan, Atageldi Shamyradov dan Menteri Pertanian, Charyyar Chetiyev serta pegawai-pegawai kanan dari Pejabat Presiden dan Kementerian Luar Negeri.

“Presiden (Berdimuhamedow) akan diberikan majlis sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putera, Putrajaya pada 19 Disember diikuti pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Mereka dijangka membincangkan isu-isu dua hala termasuk perdagangan dan pelaburan, kerjasama minyak dan gas, pendidikan tinggi, pelancongan dan keterhubungan,” jelas Wisma Putra dalam kenyataan pada Rabu.

Wisma Putra menambah, kedua-dua pemimpin akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, termasuk Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

Di antara Januari hingga Oktober tahun ini, jumlah dagangan Malaysia dengan Turkmenistan meningkat dengan ketara sebanyak 74.8 peratus kepada RM63.28 juta (AS$13.90 juta) berbanding RM36.19 juta (AS$7.91 juta) untuk tempoh yang sama pada 2023.

Pada tahun lalu, Turkmenistan merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara Asia Tengah, dengan jumlah dagangan bernilai RM48.62 juta (AS$10.57 juta). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas