PRESIDEN Indonesia, Prabowo Subianto akan mengadakan lawatan negara ke Malaysia pada 27 Januari ini atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Wisma Putra memberitahu, Prabowo akan diiringi menteri-menteri Kabinet dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Jelasnya, ia adalah cerminan hubungan persahabatan yang istimewa dan erat di antara Malaysia dan Indonesia.
“Ini merupakan lawatan Ketua Negara asing pertama ke Malaysia selepas pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Ia juga adalah lawatan negara pertama Prabowo ke negara di rantau Asia Tenggara selepas pelantikan beliau sebagai Presiden Indonesia pada 20 Oktober 2024,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Wisma Putra menambah, semasa lawatan Prabowo akan disambut dengan Istiadat Sambutan Negara dan diikuti dengan Kunjungan Menghadap ke atas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Katanya, Seri Paduka turut berkenan meraikan Prabowo dan delegasi dalam satu Majlis Santapan Negara.
“Prabowo turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertukar-tukar pandangan mengenai kerjasama dua hala serta isu-isu serantau dan antarabangsa yang melibatkan kepentingan bersama.
“Selaku negara tetangga serumpun yang akrab dan dua negara pengasas ASEAN, lawatan negara ini melambangkan komitmen kedua-dua negara untuk melonjakkan tahap hubungan dua hala ke tahap yang lebih tinggi demi kemakmuran dan kemajuan kedua-dua negara dan juga untuk rantau ASEAN,” katanya.
Katanya, keutuhan jalinan yang harmoni dan strategik ini mencakupi pelbagai bidang kerjasama yang komprehensif seperti politik, ekonomi, pertahanan, kesalinghubungan, pendidikan dan sosiobudaya.
Dari Januari hingga November 2024, jumlah dagangan dua hala telah direkodkan pada RM106.06 bilion (AS$23.2 bilion), meningkat daripada RM101.99 bilion (AS$22.41 bilion) dalam tempoh yang sama pada 2023.
Pada 2023, Indonesia merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan keseluruhan sebanyak RM111.21 bilion (AS$24.39 bilion). – WILAYAHKU