Berita

Presiden Indonesia adakan lawatan kerja ke Malaysia hari ini

- Diterbit 9 Januari 2025 9:08 AM MYT

PRESIDEN Indonesia, Prabowo Subianto akan mengadakan lawatan kerja ke Malaysia hari ini.

Menurut Wisma Putra, ini merupakan lawatan kerja pertama beliau ke negara ini sejak memegang jawatan sebagai Presiden pada Oktober 2024.

“Lawatan ini adalah cerminan hubungan istimewa di antara Malaysia dan Indonesia yang ditunjangi oleh kerjasama kukuh dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi, sosio-budaya, pertahanan dan keselamatan,” kata Wisma Putra dalam kenyataan pada Khamis.

Wisma Putra menambah, semasa lawatan ini, Prabowo dijadualkan mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelasnya, kedua-dua pemimpin akan membincangkan kerjasama dua hala dan meneroka potensi kerjasama baharu untuk memperkukuh hubungan negara.

“Perdana Menteri akan turut meraikan Presiden Prabowo Subianto dalam satu jamuan makan tengah hari tertutup.

“Dengan Malaysia mengambil alih peranan sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, kedua-dua pemimpin dijangka bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh pembinaan Komuniti ASEAN, kerjasama serantau, serta menangani cabaran global,” katanya.

Pada 2023, Indonesia merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan sebanyak RM111.21 bilion (AS$24.39 bilion).

Dari Januari hingga Oktober 2024, jumlah dagangan dua hala telah mencecah RM95.50 bilion (AS$20.75 bilion), berbanding RM94.37 bilion (AS$20.69 bilion) dalam tempoh yang sama pada 2023. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas