Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
PUTRAJAYA – Sebanyak 105 notis pendudukan tanpa sah di atas tanah kerajaan di kawasan Selayang Baru, Kuala Lumpur dikeluarkan bermula 4 hingga 5 November lalu sebelum perobohan dilakukan.
Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPTG WPKL) dalam satu kenyataan memaklumkan, pemberian notis perobohan premis haram yang dibina di atas tanah rizab jalan berkenaan melibatkan semua struktur dan dihantar secara berperingkat-peringkat.
Sehubungan itu, dakwaan sebuah akhbar harian berbahasa Melayu pada 5 November yang mengatakan bahawa notis yang dihantar secara tidak menyeluruh adalah tidak benar kerana PPTG WPKL telah menghantar notis-notis tersebut kepada semua gerai dan struktur kekal tanpa memilih bulu seperti yang didakwa.

“Selain itu, berhubung dengan isu pemilik bangunan yang mendapat Lesen Pendudukan Sementara yang telah tamat tempoh, PPTG WPKL tidak lagi memberikan kelulusan pembaharuan lesen tersebut berikutan projek pelebaran jalan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bakal dilaksanakan kelak.
“PPTG WPKL turut menghantar notis kepada bangunan tersebut memandangkan sebahagian struktur bangunannya telah termasuk di dalam sempadan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Justeru, PPTG WPKL akan mengambil tindakan penguatkuasaan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara ke atas semua struktur tanpa sah di sepanjang Jalan Selayang Baru bagi memberi laluan kepada kerja-kerja projek pelebaran jalan dan pembangunan Pusat Penyembelihan Ayam oleh DBKL,” katanya.
Tambah kenyataan itu, tempoh masa diberi untuk membolehkan pemilik memindahkan barang-barang kepunyaan mereka.
Di samping itu, kenyataan tersebut turut memaklumkan, PPTG WPKL akan sentiasa memantau kewujudan gerai-gerai dan bangunan tanpa sah ini dan bersedia untuk mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas mana-mana pengusaha gerai dan pemilik struktur kekal tanpa sah yang masih enggan berpindah.
“PPTG WPKL juga sentiasa mengalu-alukan sebarang aduan daripada orang ramai demi memastikan pematuhan kepada undang-undang dan peraturan tanah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selaras dengan hasrat kerajaan untuk memartabatkan Rule of Law,” katanya. – WILAYAHKU