PUSAT Pemindahan Sementara (PPS) Putra Heights yang menempatkan mangsa kebakaran paip gas pada 1 April lalu dijangka akan ditutup pada Ahad ini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menurut beliau, ketika ini masih terdapat 95 keluarga melibatkan 361 individu yang berlindung di PPS tersebut selepas beberapa pusat pemindahan lain ditutup secara berperingkat.
“Nama pun pusat pemindahan sementara, jadi sifatnya memang begitu, sementara sehingga penempatan tetap dapat disediakan.
“Ada yang sudah keluar kerana menemui alternatif, dan ada yang sedang dalam proses mencari,” katanya dalam sidang media selepas meninjau keadaan mangsa pagi tadi.
Lawatan beliau yang turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awanf Alik Jeman, Ketua Pengarah RELA, Lokman Effendi Ramli serta Ketua Polis Selangor, Commissioner Polis (CP) Datuk Hussein Omar
bagi meninjau pelaksanaan bantuan dokumen penting oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen.
Saifuddin berkata, arahan telah dikeluarkan agar kaunter bergerak kedua-dua jabatan itu dibuka segera, dan beliau dimaklumkan sebahagian besar mangsa telah pun memanfaatkannya.
“Saya dengar sendiri daripada mereka — hampir semua mengambil peluang seawal hari kedua dipindahkan. Mereka sangat berterima kasih atas keprihatinan ini,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai bantuan penempatan semula oleh Kerajaan Negeri Selangor, beliau menyatakan bahawa walaupun insentif RM2,000 sebulan untuk enam bulan disediakan, ada mangsa menghadapi kekangan kerana permintaan deposit rumah yang tinggi.
“Tuan rumah kenakan syarat biasa seperti dua hingga tiga bulan deposit. Ini menyukarkan mangsa walaupun bantuan tersedia. Jadi bila kita turun, kita dengar dan faham situasi sebenar,” katanya.
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada kumpulan kaunselor dan NGO yang bertugas membantu mangsa, terutama dalam menangani kes trauma dalam kalangan kanak-kanak.
“Walaupun kejadian ini sudah beberapa hari berlalu, ada kanak-kanak yang masih dalam keadaan trauma. Di sinilah pentingnya peranan kaunselor. Ia melambangkan nilai Kerajaan Madani — ihsan, prihatin dan ambil berat,” katanya.
Saifuddin turut menyatakan rasa puas hati terhadap pengurusan PPS oleh agensi terlibat termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan RELA.
“RELA paling ke depan, polis juga banyak membantu, dan kaunter JPN serta Imigresen sangat dihargai. Saya lega kerana kami dapat membantu walaupun dalam skala kecil,” ujar beliau.-WILAYAHKU