SEBANYAK 500 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Jalan Batu Arang, Tanjung Aru yang bernilai RM119 juta mula didiami penghuni yang terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) pada bulan Oktober ini.
PPR pertama dibina di pulau itu memiliki 500 unit kediaman di dua blok 13 tingkat dan setiap unit, dengan keluasan 700.19 kaki persegi selain mempunyai tiga bilik bagi memastikan ruang kediaman yang selesa untuk penduduk.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu berkata projek PRR yang mula dilaksanakan pada tahun 2018 itu dibangunkan di atas tanah seluas 7.96 ekar.
Katanya ia turut dilengkapi kemudahan seperti taska, tadika, dewan serbaguna, surau, unit kedai dan gerai untuk kemudahan penduduk setempat dan kawasan sekitar.
“Projek PRR Batu Arang ini berkonsepkan kawasan kejiranan perumahan moden yang selesa dan selamat. Setiap unit rumah dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu, ruang makan, dapur dan langkan.
“PRR Batu Arang ini merupakan kerjasama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam usaha menyediakan kediaman yang selesa dan mampu milik kepada rakyat.
“Ianya Selaras dengan keputusan Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN), bagi merealisasikan rumah mampu milik. Kerajaan Persekutuan akan membantu dari segi pemberian subsidi dan Kerajaan Negeri pula akan menyediakan tanah bagi tujuan pembangunan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Kunci Program Residensi Rakyat (PRR) Batu Arang, baru-baru ini.
Tambah beliau, seiring dengan agenda Malaysia Madani, pembinaan PRR Batu Arang mengambil kira elemen keterhubungan dan akses Internet seperti fibre to the home (FTTH), jaringan hubungan pengangkutan awam serta reka bentuk yang lebih ekonomik dan lebih selesa.
Sementara itu, seorang pesara kerajaan, Zulkeflee Abdullah, 66, meluahkan rasa syukur menjadi salah seorang daripada 500 penerima tawaran penyewaan di PPR Batu Arang.
Katanya, perasaan tersebut sukar dizahirkan kerana terlalu teruja setelah menanti perkembangan permohonan yang dibuatnya sejak enam tahun lalu.
Dia yang sebelum ini hanya menyewa rumah dengan kadar sewa RM1,000 agak terbeban untuk meneruskan kehidupan.
“Sejak enam tahun lalu saya sudah memohon untuk PPR ini, namun penantian itu telah berakhir dan kini saya telah berjaya menerima penawaran penyewaan di perumahan ini.
“Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan perumahan kos rendah ini kepada kami yang amat memerlukan tempat berteduh yang lebih murah dan selesa.
“Kesempatan yang diberikan ini akan saya jaga dengan sebaiknya. Selepas ini kami sekeluarga tidak lagi terbeban dengan kadar sewa rumah yang kian meningkat,” katanya.
Chan Chee Kong, 63, pula berterima kasih kepada kerajaan di atas keprihatinan terhadap kesusahan dan bebanannya yang hanya mengharapkan hasil pendapatan berniaga secara kecil-kecilan.
“Saya dan isteri tidak menyangka akan menerima tawaran itu kerana sudah empat tahun permohonan dibuat namun tiada sebarang perkembangan.
“Namun pada bulan lalu, satu kejutan buat kami dan ia seolah-olah memberi nafas baharu kepada saya dan isteri,” katanya. – WILAYAHKU