LEBIH 250 orang peserta dari pelbagai agensi menyertai Seminar Kebangsaan Pengurusan Mampan Tasik dan Wetland yang diadakan di Dewan Seri Melati, Kompleks Perbadanan Putrajaya, Presint 3 baru-baru ini.
Menurut Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Alam Sekitar, Tasik & Wetland PPj, Normaliza Noordin, seminar yang berlangsung selama tiga hari itu menjadi platform perkongsian ilmu dan pengalaman pihak pengurusan bersama komuniti, rakan kongsi strategik, pemegang taruh (stakeholders) serta orang ramai untuk menyedari peri pentingnya nilai perkhidmatan ekosistem.
“Di samping itu, terdapat aktiviti sampingan lain seperti pembentangan kertas kerja secara pameran poster, kios produk ekopelancongan Putrajaya, pameran poster status ekologi Tasik dan Wetland Putrajaya, pameran poster nature-based solution oleh pemaju dan pameran kesedaran awam – kepentingan ekosistem oleh WWF-Malaysia, Wetland International dan lain-lain.
“Para peserta juga mendapat input pengalaman pengurusan badan air melalui penyelesaian masalah, penilaian ekonomi dan penambahbaikan servis ekosistem.
“Ia diharap dapat memupuk rasa sense of belonging dan tanggungjawab dalam kalangan masyarakat untuk bersama bertindak dan mengambil bahagian bagi memastikan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) dapat dilaksanakan dengan jayanya,” ujar beliau.
Normaliza berkata sebanyak 27 kertas kerja dibentangkan termasuk tiga kertas kerja ucaptama. Antara topik seminar yang dibincangkan adalah Pengurusan Mampan Ekosistem dan Sumber Air, Penilaian Ekonomi Perkhidmatan Ekosistem, Kepelbagaian Biologi Flora dan Fauna, Perancangan Bersepadu dan Pembangunan Mampan serta Ekopelancongan.
“Perkara penting yang diketengahkan dalam seminar tersebut adalah berkaitan Nilai Ekonomi Perkhidmatan Ekosistem. Ekosistem berharga ini turut menjadi habitat haiwan terancam dan dilindungi. Sebagai contoh, eksploitasi yang berlebihan mengakibatkan berlakunya ancaman terhadap wetland sehingga kawasan berkenaan berubah fungsi tanah. Keadaan yang semakin buruk mengakibatkan pencemaran, ancaman spesies asli, amalan akuakultur tidak mesra alam serta kemusnahan secara total.
“Justeru itu, Penilaian Ekonomi Perkhidmatan Ekosistem menjadi ‘alat penting’ bagi menganggarkan harga dalam bentuk wang ringgit agar kepentingannya dapat difahami oleh semua lapisan masyarakat,” ujarnya pada masa ini, Tasik dan Wetland Putrajaya merupakan satu-satunya Tapak Demonstrasi Ekohidrologi UNESCO di Malaysia sejak tahun 2011.
Dalam masa sama, Normaliza berkata pihaknya berbangga kerana Tasik dan Wetland Putrajaya diuruskan dengan baik selain mendapat pelbagai anugerah berprestij di peringkat kebangsaan dan antarabangsa termasuklah pengiktirafan sebagai Tapak Demonstrasi Ekohidrologi UNESCO sejak tahun 2010.
“Produk ekopelancongan Tasik dan Wetland termasuk Cruise dan Perahu Dondang Sayang, GL@W Glamping, Wetland Studios, Pusat Rekreasi Air, Pantai Floria juga kini semakin menjadi kegemaran ramai,” ujarnya seminar bertemakan Wetlands and Human Wellbeing itu turut mendapat kerjasama daripada lebih 25 buah rakan strategik. – WILAYAHKU