BERTEPATAN dengan kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang masih dirasai, pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) tampil menerbitkan Teater Cinta Ahmad Mutawakkil (CAM) yang berlangsung pada 19 hingga 22 September ini bertempat di Dataran Putrajaya, Presint 3.
Persembahan teater yang julung kalinya diadakan pada skala besar itu adalah bersempena penganjuran Festival Budaya Putrajaya 2024 dan akan dipentaskan pada 20 September 2024, pukul 8.30 malam, 21 dan 22 September 2024 (2.30 petang) bertempat di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Kompleks PPj.
Menurut Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat PPj, Siti Fadilah Ramli, teater CAM merupakan karya pertama yang akan diterbitkan oleh PPj dalam usaha menjadikan Putrajaya sebagai hub seni budaya terutamanya teater.
“Hasrat ini adalah selaras dengan matlamat untuk menggalakkan pembudayaan gaya hidup sihat yang seimbang dalam kalangan komuniti dari aspek kesihatan fizikal dan mental seperti dihasratkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.
“Cadangan asal pementasan teater CAM adalah hasil cetusan idea Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud yang ingin melihat Putrajaya menjadi destinasi bagi penggiat seni teater berkarya kerana kemudahan infrastruktur sedia ada di sini amat sesuai menjadi lokasi perkembangan seni dan budaya,” ujar beliau.
Siti Fadilah berkata CAM adalah cerpen karya Zainal Rashid Ahmad yang memenangi Hadiah Sastera Utama bagi kategori Cerpen Remaja Kumpulan Utusan 2002.
“Cerpen ini terkandung di dalam Antologi Teks Komponen Sastera (KOMSAS) Tingkatan 5 berjudul Sejadah Rindu.
“CAM mengangkat tema perpaduan dan kenegaraan terutama ketika negara menuju kemerdekaan.
“Selain itu, teater CAM kali ini mempunyai elemen seni budaya yang menepati objektif Festival Budaya Putajaya 2024 seperti elemen muzikal, tarian, drama dan seni audio visual,” ujarnya.
Lebih menarik, beliau memaklumkan ia turut ditawarkan secara percuma khas kepada pengunjung Festival Budaya Putrajaya 2024.
“Walau bagaimanapun, tempat duduk adalah terhad. Oleh yang demikian, semua peminat teater digalakkan untuk mendapatkan pas masuk lebih awal dengan mengimbas kod QR yang disediakan di poster yang telah dimuat naik di media sosial rasmi PPj,” ujarnya.
Terdahulu, Majlis Prapelancaran CAM yang diadakan di Taman Ekuestrian Putrajaya baru-baru ini turut dihadiri oleh Amirul Haswendy Ashari selaku pengarah dan penulis skip serta barisan pelakon yang akan membintangi teater tersebut antaranya Shah Iskandar, Mimi Enirda, Geoff Andfre, Along Eyzendy, Ain Sufia, AG Hafiz dan Md Husin. – WILAYAHKU