Berita

PPj tawar enam lokasi ibadah korban sempena Aidiladha

AKTIVITI korban merupakan salah satu mekanisme mengeratkan silaturahim
- Diterbit 31 Mei 2024 3:53 PM MYT

MENJELANG sambutan Hari Raya Aidiladha yang bakal tiba, permohonan ibadah korban telah mula dibuka bagi pelaksanaannya di Putrajaya.

Menurut Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, aktiviti ibadah korban yang dilaksanakan di Putrajaya itu mengikut Garis Panduan Pelaksanaan Ibadah Korban Bil 2/2013 Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Garis Panduan Penyembelihan Ternakan Korban Bil 1 Tahun 2013 Jabatan Perkhidmatan Veterinar di mana satu kaedah aktiviti ibadah korban yang telah dipersetujui bersama sejak tahun 2020.

“Prosedur operasi standard yang diwujudkan tersebut adalah bagi mengawal aktiviti ibadah korban agar tidak menjejaskan persekitaran, struktur dan landskap di Putrajaya.

“Selain itu, ia akan menjadi kaedah yang spesifik dan komprehensif kepada pihak pengurusan yang menjalankan ibadah korban dan memudahkan petugas untuk mengawal selia aktiviti sembelihan agar lebih teratur dan bersih selain mengambil kira aspek keselamatan makanan serta keperluan bagi ternakan korban yang terlibat,” ujar beliau.

Fadlun berkata kumpulan sasaran program melibatkan komuniti masjid dan surau, Majlis Perwakilan Penduduk (MPP), agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Sebanyak enam lokasi simpanan, sembelihan dan pelupusan sisa pepejal ternakan ibadah korban telah ditentukan oleh PPj.

“Ia melibatkan enam presint iaitu di Presint 5 (berhampiran Kementerian Pengajian Tinggi); Presint 7 (Tapak MyFarm); Presint 9 (Depoh PPj); Presint 11 (berhampiran Pejabat Kesihatan Putrajaya), Presint 14 (Taman Rimba Alam) dan Presint 18 (berhampiran Pangsapuri 18R10),” ujarnya.

Beliau berkata lokasi yang ditetapkan adalah berdasarkan kesesuaian untuk menjadi tempat simpanan sementara haiwan korban, tapak penyembelihan dan mudah bagi pengurusan sisa pepejal serta cecair haiwan.

“Permohonan dibuka bermula 20 Mei hingga 10 Jun 2024 dengan tempoh kelulusan selewat-lewatnya 48 jam masa bekerja.

“Permohonan boleh dibuat dengan mengisi borang secara atas talian dengan mengimbas QR di laman sesawang www.ppj.gov.my dan media sosial PPj.

“Borang juga boleh didapati di Bahagian Kesihatan Persekitaran, Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj,” ujarnya.

Mengikut rekod, sebanyak 22 kelulusan telah dikeluarkan pada tahun 2023 dan dijangka akan meningkat kepada lebih 30 kelulusan pada tahun ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas