Oleh SABRINA SABRE
GENAP 35 hari berlakunya perang antara pejuang Hamas dan Israel dengan angka kematian rakyat Palestin di Gaza terus meningkat saban hari akibat kekejaman rejim Zionis yang turut membedil kediaman-kediaman orang awam.
Di sebalik kekejaman rejim Zionis untuk melumpuhkan sepenuhnya Gaza, bantuan kemanusiaan terus dilancarkan masyarakat antarabangsa bagi membela nasib rakyat Palestin di wilayah itu.
Tidak terkecuali, pihak berkuasa tempatan (PBT) Perbadanan Putrajaya (PPj) turut mengambil peluang mengagihkan bantuan kecemasan melalui kutipan Minggu Infaq Putrajaya 2023 kepada penduduk Gaza yang telah disekat keperluan asas sejak beberapa minggu lalu.
Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud berkata sebagai rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian dan keamanan selain atas dasar kemanusiaan yang terkesan dengan penderitaan serta kesengsaraan dialami oleh rakyat Palestin, pihaknya menyumbang sebanyak RM5,000 hasil kutipan Minggu Infaq Putrajaya 2023 kepada Tabung Kemanusiaan Palestin.
“Misi kemanusiaan melalui penyaluran sumbangan ini sedikit sebanyak diharap dapat membantu dan menyelamatkan mereka yang tidak berdosa.
“Sumbangan ini juga adalah sebagai menyatakan solidariti berterusan kepada mangsa-mangsa kezaliman konflik Zionis Israel di Palestin,” ujar beliau kepada Wilayahku.
Dalam masa sama, Fadlun berkata pihak PPj turut mengadakan Forum Solidariti Palestin yang dihadiri 400 orang peserta di samping menampilkan Heliza Helmi sebagai moderator serta dua orang ahli panel terdiri daripada pendakwah terkenal Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre dan Ustaz Mohammad Rozie Mohd Rejab. – WILAYAHKU