PERBADANAN Putrajaya (PPj) komited dalam usaha memastikan Putrajaya menjadi sebuah bandar mampan dan bandar hijau rendah karbon bertaraf dunia menjelang tahun 2025.
Komitmen PPj dibuktikan dengan pelbagai inisiatif dan program yang dilaksanakan daripada dahulu sehingga sekarang. Buktinya pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sedang melaksanakan pengujian bas elektrik berautonomi dalam usaha merealisasikan pusat pentadbiran kerajaan itu sebagai bandar rendah karbon.
Menurut Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, inisiatif penggunaan teknologi bas elektrik berautonomi yang dibangunkan oleh syarikat tempatan iaitu eMooVit Technology itu dilaksanakan untuk memajukan sektor pengangkutan awam negara di samping melestarikan alam sekitar.
“Pelaksanaan projek rintis ini akan memberi fokus kepada penilaian kesan bas elektrik berautonomi kepada sistem pengangkutan bandar dari segi teknologi, sosial dan ekonomi.
“Kami berharap dengan memperkenalkan kenderaan elektrik berautonomi ini akan membawa beberapa manfaat termasuk potensi untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2), penambahbaikan sistem pengangkutan dan juga penggunaan tenaga.
“Langkah ini juga sejajar dengan usaha menzahirkan hasrat bandar hijau di Putrajaya selain mengurangkan pencemaran karbon, bunyi serta kesesakan lalu lintas,” ujar beliau.
Dalam masa sama, Fadlun berkata ia juga bertujuan untuk menilai pengalaman pelanggan terhadap perkhidmatan operasi bas secara optimum yang turut memberi tumpuan kepada pengurangan kadar kemalangan, kos operasi dan kebergantungan tenaga kerja.
“Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Insurans Am Malaysia sebelum ini, lebih daripada 80 peratus kemalangan jalan raya di Malaysia disebabkan oleh kecuaian pemandu.
“Perkara tersebut amat membimbangkan dan aspirasi pihak PPj adalah dengan adanya teknologi kenderaan elektrik berautonomi ini akan dapat mengurangkan kesilapan manusia,” ujarnya.
Dalam pada itu, Fadlun memaklumkan laluan bas tersebut akan dijalankan di sepanjang Persiaran Perdana dan berkemungkinan dilanjutkan ke Putrajaya Sentral dengan objektif untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan mengenai penyesuaian bas elektrik autonomi sebagai perkhidmatan.
“Selain itu, projek pengujian yang diadakan selama tiga bulan itu juga dilaksanakan untuk menilai penerimaan orang ramai berdasarkan bentuk baharu pengangkutan mobiliti bandar di samping memajukan Pelan Tindakan Bandar Pintar Putrajaya sebagai pembangunan bandar pintar terulung dalam negara serta menyelaraskan dengan Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia,” ujar beliau.
Fadlun memberitahu sepanjang tempoh pengujian, orang ramai akan dibenarkan menaiki bas elektrik autonomi itu secara percuma selama tiga bulan.
“Melalui kerjasama ini, eMooVit akan menyediakan bas elektrik autonomi, sistem pengecasan, sokongan teknikal, khidmat penyelenggaraan dan sesi latihan,” ujarnya.
Sebagai rekod, eMooVit Technology merupakan syarikat yang memfokuskan kepada perisian pemanduan berautonomi dengan tumpuan utama kepada penyelesaian di dalam sektor pengangkutan awam.
eMooVit Technology juga merupakan syarikat pertama dan kini satu-satunya yang menerima kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan di bawah Jawatankuasa Garis Panduan Pengujian MyAV untuk menjalankan ujian di laluan awam yang ditetapkan di Cyberjaya dan Putrajaya.
Terdahulu, kerajaan melancarkan Dasar Automotif Negara 2020 yang mana bertujuan untuk mempertingkatkan industri automotif melalui penyelidikan dan pembangunan terutamanya dalam bidang kenderaan generasi akan datang. – WILAYAHKU