Berita

PPj rangkul tiga anugerah mampan

PPj berjaya mengekalkan status Bandar Mampan Malaysia sejak tahun 2012 hingga kini.
- Diterbit 9 Disember 2021 9:21 AM MYT

PERBADANAN Putrajaya (PPj) menggondol tiga anugerah cemerlang dengan merangkul Anugerah Bandar Mampan Malaysia, Penghargaan Amalan Terbaik SDG11 dan ASEAN Placemaker Award bagi Kebun Komuniti Presint 16 baru-baru ini.

Menurut Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain, PPj akan terus berusaha mengekalkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan dan pembangunan perbandaran sekali gus menyumbang ke arah merealisasikan visi Putrajaya Bandar Pentadbiran Mampan bertaraf dunia.

Alhamdulillah, PPj berjaya mengekalkan status Bandar Mampan Malaysia sejak tahun 2012 hingga kini menerusi skor MURNInets (Jaringan Penunjuk Pembangunan Mampan Bandar Luar Bandar  Malaysia) 2.0 dengan jumlah markah sebanyak 99.78 peratus.

“PPj kini berada kedudukan tempat pertama diikuti oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri di tempat kedua dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di tempat ketiga.

“Dalam masa yang sama, PPj turut menerima Anugerah Penghargaan Pencapaian Terbaik SDG11 2021,” katanya semasa Majlis Penyampaian Anugerah Bandar Mampan dan Penghargaan Terbaik SDG11 Tahun 2021.

Tambah Muhammad Azmi, Anugerah Penghargaan Placemaking Award untuk Kebun Komuniti Presint 16 pula diterima melalui penglibatan Perbadanan Putrajaya di dalam pertandingan ‘Placemaker Awards ASEAN 2021’.

“Anugerah ini dianjurkan bagi meraikan dan memberi pengiktirafan di atas inisiatif dan usaha yang telah dilaksanakan oleh semua pihak di rantau ASEAN dalam menambah baik, mengindah serta menghidupkan ruang/kawasan awam (people spaces) sedia ada dengan penampilan yang lebih bersemangat, bertenaga, segar dan inovatif,” ujarnya.

Sebanyak 127 bandar dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah dinilai status kemampanan secara tahunan berdasarkan 39 indikator Bandar Mampan Malaysia oleh pihak PLANMalaysia. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas