SEBAGAI tanda menghargai kerjasama baik bersama pihak media, Perbadanan Putrajaya (PPj) telah menganjurkan Program Berbuka Puasa PPj bersama Kelab Media Putrajaya di Glamping @ Wetland Presint 13, Putrajaya.
PPj menerusi hantaran di Facebooknya berkata program tersebut merupakan antara siri interaksi media bersama pihak PPj demi mengeratkan silaturahim dan kerjasama dalam penyaluran berita serta maklumat.
“Ia sebagai tanda penghargaan kepada rakan-rakan media yang telah memberikan kerjasama berterusan dalam liputan berita berkaitan PPj dan Putrajaya.
“Temasuk segala usaha saluran berita mengenai inisiatif PPj selaku Pihak Berkuasa Tempatan Putrajaya,” katanya.

Mohammad Sudin.
Selain itu, beberapa penambahbaikan juga diusulkan oleh Presiden Kelab Media Putrajaya, Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin antaranya penubuhan rumah media di sekitar Putrajaya.
“Penubuhan rumah tersebut bagi memberi ruang buat para media beristirehat apabila berada di sekitar Putrajaya dan juga menjadikan ia sebagai pusat informasi buat para media mendapatkan maklumat berkenaan peristiwa yang berlaku di Putrajaya dengan lebih cepat dan tepat,” ujarnya.
Turut hadir Naib Presiden Kanan PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud pada majlis tersebut menyantuni serta beramah mesra bersama wakil-wakil media yang hadir. -WILAYAHKU