Berita

PPj rai 30 pemenang Putrajaya Urban Biodiversity Challenge 2023

FADLUN (dua kiri) menyampaikan hadiah PUBC 2023 kepada johan bagi kategori most observation capture, Sim Ee Chai (kiri).
- Diterbit 7 Julai 2023 8:00 AM MYT

PERBADANAN Putrajaya (PPj) meraikan 30 orang peserta yang dinobatkan sebagai pemenang Putrajaya Urban Biodiversity Challenge (PUBC) 2023 bertempat di Bilik Anggerik, Kompleks PPj, Presint 3, Putrajaya pada Isnin.

Menurut Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, penganjuran program di bawah inisiatif Bandar Hijau Putrajaya itu adalah selaras dengan tindakan di bawah Putrajaya Climate Action Plan 2030 iaitu tema tindakan ‘Blue and Green: Conduct Continuous Enhancement of Urban Biodiversity’.

“PUBC diadakan bertujuan untuk meningkatkan kepekaan dan ilmu pengetahuan orang awam terhadap biodiversiti bandar iaitu flora dan fauna yang wujud di persekitaran kita.

“Dengan penggunaan aplikasi iNaturalist sebagai platform penyertaan program, orang awam dapat melibatkan diri secara mudah dalam PUBC semasa memuat naik gambar pemerhatian (observation),” ujar beliau.

Dalam masa sama, Fadlun memaklumkan mengikut rekod, lebih daripada 1,000 spesies flora dan fauna telah dikenal pasti oleh peserta khususnya di kawasan Putrajaya.

“Seramai 62 peserta telah menyertai pertandingan ini dan sebanyak 9,615 gambar pemerhatian telah diterima untuk penilaian.

“Kesemua peserta merebut hadiah bagi tiga kategori yang dipertandingkan iaitu ‘Most Observation Capture’ di mana pemilihan pemenang adalah berdasarkan peserta yang telah memuat naik bilangan gambar pemerhatian yang tertinggi.

“Manakala dua kategori lagi terbahagi kepada flora dan fauna bagi ‘Most Species Capture’ di mana pemilihan pemenang adalah berdasarkan peserta yang telah memuat naik bilangan gambar pemerhatian flora atau fauna yang tertinggi mengikut kategori masing-masing,” jelas beliau.

Tambahnya, seramai 10 orang pemenang telah dipilih bagi setiap kategori yang mana juara pertandingan membawa pulang wang tunai bernilai RM500, RM400 bagi naib juara, manakala tempat ketiga RM300 dan hadiah saguhati pula sebanyak RM100 bagi setiap kategori. Masing-masing turut membawa pulang sijil pertandingan.

Di samping itu, Fadlun berkata adalah menjadi harapan PPj bahawa penganjuran program serta jalinan kolaborasi bersama Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dan agensi-agensi pakar ini dapat diteruskan untuk merealisasikan tindakan yang telah digariskan dalam Putrajaya Climate Action Plan 2030.

“Diharapkan anjuran PUBC ini dapat menggalakkan komuniti serta orang awam supaya lebih mengenali biodiversiti bandar kita selain kepentingan mengekalkan kemampanan Putrajaya yang merupakan habitat kepada flora dan fauna yang menarik,” ujarnya.

Terdahulu, penganjuran PUBC 2023 mendapat sokongan daripada rakan strategik PPj iaitu NRECC dan agensi di bawahnya seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas