Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

PPj gesa peniaga dapatkan lesen secara sah

ANTARA kenderaan dan barangan yang disita oleh penguat kuasa PPj
- Diterbit 28 Jun 2024 3:30 PM MYT

PUTRAJAYA bukan sahaja menjadi kawasan tumpuan orang ramai untuk bersantai atau beriadah bahkan ia turut menjadi lokasi para peniaga mencari rezeki.

Namun dalam keghairahan berniaga, mereka sanggup beroperasi di lokasi yang tidak dibenarkan tanpa mendapat lesen yang sah daripada pihak Perbadanan Putrajaya (PPj). Di sebalik tindakan tersebut, ia sebenarnya bakal mengundang pelbagai masalah kepada pengunjung.

Untuk itu, demi kesejahteraan masyarakat Putrajaya dan semua pemegang taruh, pihak penguat kuasa PPj giat menjalankan pemantauan dan rondaan penguatkuasaan secara berkala bagi memastikan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu menjadi sebuah bandar yang bersih, indah, harmoni dan tenteram.

Terbaharu satu operasi bersepadu membanteras penjaja tanpa lesen atau lebih dikenali dengan panggilan ‘rambo’ dilakukan di sekitar Dataran Putra bermula pada pukul 4 petang sehingga 11:30 malam.

Seramai 72 orang anggota PPj bersama agensi sahabat iaitu tujuh orang anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), 10 orang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta 12 orang anggota Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terlibat dalam operasi bersepadu tersebut.

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa dan Keselamatan PPj, Fauzi Ismail berkata operasi yang dilaksanakan itu adalah bagi memantau sebarang aktiviti awam yang dikesan menyalahi peraturan dan undang-undang ditetapkan oleh PPj demi menjadikan kawasan Dataran Putra selamat untuk orang awam bersiar-siar.

“Pelaksanaan operasi ini bertujuan untuk memastikan tiada sebarang aktiviti perniagaan tanpa lesen antaranya jualan makanan dan minuman, jualan permainan kanak-kanak serta sewaan kereta mainan, basikal dan kasut roda yang juga menyebabkan persekitaran Dataran Putra kotor dan berbahaya kepada pengguna lain,” ujarnya selepas Operasi Bersepadu Penguat Kuasa dan Keselamatan PPj baru-baru ini.

Beliau berkata antara sebab utama mengapa pihak penguat kuasa PPj tidak membenarkan peniaga untuk menjual barangan di sekitar kawasan tersebut adalah kerana ia berdekatan dengan masjid dan premis-premis bangunan utama negara yang berisiko tinggi daripada segi keselamatan.

“Dataran Putra merupakan kawasan larangan untuk berniaga. Dahulu banyak kejadian yang berlaku antaranya kes budak kena langgar sehingga patah kaki, jatuh dan sebagainya kerana laluan terhalang dan sempit apabila ramai yang berniaga.

“Selain itu, pada kebiasaannya peniaga yang menjual merupakan orang luar dan sekiranya berlaku sebarang kejadian seperti keracunan makanan dan lain-lain, ia akan menyukarkan pihak kami untuk mengenal pasti penjual tersebut. Oleh sebab itu, kita ambil pendekatan untuk tidak benarkan langsung semua jenis perniagaan dijalankan di situ,” ujarnya.

Menurut Fauzi, sebanyak tujuh kompaun di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 3(1) Perlesenan Penjaja (WPPJ 2016) dikeluarkan kepada penjaja tanpa lesen semasa operasi bersepadu yang dilakukan baru-­baru ini.

“Tindakan sitaan kenderaan dan barang-barang perniagaan milik mereka juga dilakukan. Kesemua barangan yang disita telah dihantar ke Depoh Perbadanan Putrajaya di Presint 9.

“Kami bukan mahu menutup periuk nasi peniaga tetapi pihak PPj telah berulang kali memberi nasihat dan amaran bahawa mereka memang tidak boleh berniaga di sini, malah berulang kali kompaun telah dikeluarkan tetapi mereka masih berkeras dan degil jadi tindakan tegas terpaksa dilakukan,” ujarnya.

Di samping itu, Fauzi berkata dalam usaha memantapkan lagi penguatkuasaan di sekitar Dataran Putra, anggota penguat kuasa PPj ditempatkan secara statik di kawasan tersebut untuk memantau dan meronda sama ada berjalan kaki atau bermotor bagi mengesan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan.

“Sebarang kesalahan yang dikesan akan diberikan teguran serta nasihat dan pesalah diminta beredar dari lokasi serta-merta atau tindakan lebih tegas seperti kompaun dan sitaan akan dilaksanakan,” ujarnya tinjauan melalui kamera litar tertutup (CCTV) turut membantu pihak PPj bagi memantau keadaan semasa.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai AADK Wilayah Persekutuan Putrajaya, Muhammad Azim Che Ali turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PPj kerana memberi peluang kepada pihaknya untuk bersama-sama membanteras tindakan tidak bermoral melalui operasi bersepadu itu.

“Kebanyakan peniaga yang berada di sini difahamkan sudah beberapa kali diberikan amaran serta kompaun, jadi rentetan daripada isu itu mungkin memerlukan kerjasama daripada agensi seperti AADK kerana berkemungkinan mereka mempunyai rekod-­rekod tambahan lain seperti penyalahgunaan dadah sehingga tidak mengambil endah arahan daripada PPj selain turut melakukan provokasi kepada pihak penguat kuasa.

“Kami telah lakukan ujian saringan air kencing di bawah Seksyen 3(1) APD (R&P) 1983 untuk semakan adakah mereka terlibat secara langsung dengan penyalahgunaan dadah dan barang terlarang atau tidak. Alhamdulillah selepas membuat semakan kesemuanya menunjukkan keputusan negatif. Sekiranya positif, mereka perlu menjalani rawatan dan pemulihan yang dianjurkan oleh pihak AADK.

“Saya rasa tindakan ini sepatutnya diteruskan dalam memastikan warga Putrajaya berada dalam selamat dan sejahtera. Syabas PPj,” ujar beliau.

Sementara itu, Ketua Penolong Pegawai Penguat Kuasa Kanan JPJ, Rusmadi Othman berkata tiada sebarang kompaun atau tindakan diambil sepanjang operasi tersebut.

“Tindakan susulan akan diambil selepas advokasi dibuat jadi jika ada kejadian dan kesalahan sama berulang kita akan terus ambil tindakan.

“Pihak JPJ turut mengambil nombor pendaftaran kenderaan mereka dan membuat semakan dalam sistem. Rekod mereka ada dalam simpanan kami. Kami pun sudah memberi peringatan kepada pemandu dan peniaga agar tidak mengulangi kesalahan yang sama.

“Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada pihak PPj kerana menjemput kami untuk turut serta dalam operasi ini. InsyaAllah kita akan teruskan kerjasama ini dan operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa serta tidak akan berhenti di sini demi ingin memberi keselesaan dan juga nak pemandu untuk patuh kepada peraturan,” ujarnya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas