PERBADANAN Putrajaya (PPj) hari ini mengedarkan sebanyak 12,000 unit bendera bagi menyemarakkan lagi Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025 tidak lama lagi.
PPj dalam kenyataannya berkata edaran bendera telah diserahkan kepada ketua-ketua komuniti Putrajaya melalui Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Putrajaya (MPPWP).
“Penganjuran Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) pada tahun ini mengangkat tema ‘Wilayah Persekutuan Kita’ yang menggambarkan nilai keharmonian, semangat kebersamaan warga Wilayah Persekutuan yang kukuh serta kerjasama erat dalam memacu pembangunan Wilayah Persekutuan.
“Bendera-bendera ini akan diedarkan kepada Persatuan Penduduk, Kawasan Rukun Tetangga, Joint Management Body (JMB) dan sekolah-sekolah di Putrajaya, khususnya,” katanya.
PPj berkata, majlis turut diserikan dengan pelancaran BeST Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya, melibatkan kira-kira 200 sukarelawan bagi melaksanakan aktiviti pembersihan di kawasan setempat dan pusat komersial terdekat.
“Selain itu, seramai 1,000 peserta juga dilepaskan dalam Program Langkah Sihat Komuniti Putrajaya, manakala Program Khatan Perdana turut berlangsung dengan melibatkan 300 anak-anak komuniti Putrajaya.
“Sementara itu, Gimik Penyerahan Sumbangan Kasih SHWP 2025 turut diadakan sebagai simbolik penyerahan sumbangan kepada 50 orang asnaf yang berdaftar dalam Sistem e-Kash di Putrajaya. Sumbangan dalam bentuk wang tunai berjumlah RM150 dan barangan keperluan harian bernilai RM100.
“Aktiviti menarik lain termasuk Pertandingan Treasure Hunt Kitar Semula, Jom Senamrobik, Saringan Kesihatan, Pertandingan Melukis Poster, Pertandingan Mewarna, Aktiviti Memanah serta pelbagai jualan dan pameran daripada usahawan KUPPutra, FAMA dan MyGrocer,” katanya.
Jelasnya Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025 yang penuh dengan aktiviti bermakna ini selari dengan visi C.H.A.S.E yang dihasratkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.
“Melalui visi C.H.A.S.E City, yang merangkumi Clean City (bandar bersih), Healthy City (bandar sihat), Advanced City (bandar maju), Safe City (bandar selamat) dan Eco Friendly City (bandar mesra alam), PPj sentiasa komited untuk memastikan Putrajaya terus berkembang sebagai wilayah yang sejahtera dan berdaya saing.
“Dengan pelaksanaan aktiviti yang melibatkan komuniti serta inisiatif yang menyokong kebersihan, kesihatan, keselamatan dan kelestarian alam, ianya sedikit sebanyak menyuntik semangat kekitaan dalam mewujudkan Wilayah Persekutuan yang lebih baik,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu Majlis Penyerahan Bendera Wilayah Persekutuan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025 telah disempurnakan oleh Presiden PPj, Datuk Fadlun Mak Ujud bertempat di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya. – WILAYAHKU