PERBADANAN Putrajaya (PPj) diarah mengkaji keperluan memanjangkan tempoh pelaksanaan Car Free Day atau hari tanpa kenderaan dari hanya beberapa jam kepada tempoh sehari penuh setiap bulan.
Perkara itu dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa sejurus selepas menyempurnakan program tersebut yang berlangsung di Putrajaya dengan kehadiran 4,000 peserta.
Menurut beliau ia merupakan program bulanan yang diadakan pada setiap Ahad minggu kedua.
“Program ini menyokong visi Bandar CHASE, khususnya inisiatif Eco-friendly City dan Healthy City, dalam usaha menjadikan Putrajaya sebagai bandar yang mampan dan mesra alam.
“Bagi memastikan program ini tidak hanya berakhir dengan hanya sekadar program bulanan, saya minta Perbadanan Putrajaya untuk kaji keperluan memanjangkan tempoh pelaksanaan Car Free Day ini dari hanya beberapa jam kepada sehari penuh setiap bulan,” katanya.
Beliau menambah, langkah tersebut bukan sahaja dapat memberi lebih ruang kepada aktiviti yang sihat kepada penduduk, malah turut menyumbang kepada usaha menangani isu perubahan iklim yang menjadi tumpuan dunia kini.
Namun begitu katanya, keberkesanan inisiatif ini memerlukan sokongan padu daripada rakyat untuk mencapai objektif bersama.
Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) selaku rakan strategik yang menyokong inisiatif tersebut.
“Saya persilakan lebih ramai lagi rakan strategik untuk turut bekerjasama dalam menjayakan objektif ini,” katanya. – WILAYAHKU