Berita

PPj bantu jana pendapatan komuniti B40, perkasa ekonomi usahawan mikro

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa ketika melancarkan salah satu Projek Dapur Digital.
- Diterbit 31 Disember 2024 3:18 PM MYT

PERBADANAN Putrajaya (PPj) mempertingkatkan lagi usaha dalam memperkasakan komuniti golongan berpendapatan rendah (B40) khususnya ibu tunggal dan belia melalui inovasi ekonomi digital menerusi Projek Dapur Digital (Cloud Kitchen).

Menurut Presiden PPj, Datuk Fadlun Mak Ujud, Dapur Digital merupakan pusat komuniti yang boleh digunakan untuk pelbagai projek masa depan seperti pengurusan sisa minyak masak, inventori digital dan pengurusan makanan melalui kerjasama dengan syarikat telekomunikasi, perusahaan dan start-up di bawah kendalian Pepper Labs sebagai operator yang dipercayai.

“Dapur-dapur ini berfungsi sebagai hab ekonomi yang menawarkan peluang kepada usahawan mikro B40 untuk menjana pendapatan untuk keluarga.

“Dalam hal ini, PPj mengenal pasti dua lokasi iaitu di Pangsapuri Putra Damai Presint 11 dan Kompleks Pasar Awam Presint 16 bagi memulakan Projek Dapur Digital yang akan melibatkan lebih 50 peserta.

“Usahawan mikro yang terlibat akan terus mendapat bimbingan kemahiran perniagaan, teknologi makanan dan pengurusan dapur menjadikan mereka lebih berdaya saing dalam ekonomi digital.

“Inisiatif Dapur Digital bukan sahaja melatih mereka untuk mempertajam kemahiran dan mengasah bakat dalam bidang kulinari, malah juga memberikan bimbingan sepenuhnya dalam pelbagai aspek pengendalian dan pengurusan perniagaan makanan,” katanya semasa Majlis Perasmian Pusat Penjaja Putrajaya dan Penyerahan Sijil Caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Fadlun berkata, usahawan akan dibimbing untuk memanfaatkan teknologi dan platform dalam talian secara strategik bermula daripada pembangunan produk sehingga pemasaran digital.

“Melalui inisiatif ini, ia akan dapat menyediakan laluan jelas menuju kebebasan kewangan selepas mereka menamatkan latihan komprehensif di samping membolehkan usahawan terbabit terus maju dan berjaya berkembang dalam ekonomi makanan digital.

“Dalam masa sama, komuniti B40 bukan sahaja dapat menjana pendapatan tambahan malah memperoleh kemahiran baru yang membolehkan mereka terus berkembang dan memperkasakan keupayaan bagi mengukuhkan ekonomi masing-masing,” ujarnya.

Beliau berkata, inisiatif Dapur Digital memberi impak sosial dan ekonomi yang mampan kepada komuniti setempat dan menyokong aspirasi kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar Program Usaha Jaya Insan (PUJI) di bawah komponen Upaya@PUJI.

“Di kesempatan ini saya menggalakkan penjaja untuk turut menyertai Projek Dapur Digital untuk memajukan lagi perniagaan dan menambah pendapatan,” ujarnya.

Terdahulu, dalam pembentangan Bajet 2023, Perdana Menteri telah mengumumkan Projek Dapur Digital dalam usaha menggiatkan lagi pemerkasaan komuniti khususnya dalam kalangan golongan B40 melalui aktiviti ekonomi dan penerapan digital yang dijangka dapat menjana pendapatan.

Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) selaku peneraju pelaksanaannya di Wilayah Persekutuan akan menjalinkan kolaborasi bersama agensi-agensi di bawahnya, Kementerian Kewangan dan Pepper Labs bagi mengenal pasti komuniti terpilih khususnya usahawan B40 untuk menyertai Projek Dapur Digital dan memasarkan produk makanan mereka di platform digital seperti GrabFood, ShopeeFood dan Foodpanda. – WILAYAHKU

[Iklan]

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas